Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump setuju gantung serangan terhadap Iran selama dua minggu jika Tehran buka semula Selat Hormuz
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhenti seketika ketika beliau selesai berucap semasa ucapan yang disiarkan di televisyen tentang konflik di Timur Tengah dari Dewan Perwakilan Rumah Putih di Washington, DC pada 1 April 2026. (Gambar fail: AFP/Pool/ Alex Brandon)
DUBAI/WASHINGTON: Iran pada Rabu (8 Apr) menyatakan bahawa ia akan menjamin laluan selamat bagi pelayaran melalui Selat Hormuz yang penting selama dua minggu, dengan mengumumkan bahawa tempoh itu akan digunakan untuk berunding dengan Amerika Syarikat bagi menamatkan perang, bermula Jumaat ( 10 Apr) di Islamabad.
Pengumuman itu dibuat beberapa saat selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berkata beliau bersetuju melaksanakan gencatan senjata dua minggu dengan Iran, kurang dua jam sebelum tarikh akhir yang beliau beri kepada Tehran untuk membuka semula Selat Hormuz atau menghadapi serangan meluas ke atas infrastruktur awamnya.
“Bagi tempoh dua minggu, pelayaran selamat melalui Selat Hormuz akan dibenarkan dengan penyelarasan bersama Angkatan Bersenjata Iran dan dengan mengambil kira kekangan teknikal yang wujud,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dalam hantaran di X.
Dalam satu kenyataan berasingan, Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran pula berkata bahawa rundingan itu dijadualkan berlangsung selama dua minggu tetapi boleh “dilanjutkan dengan persetujuan bersama pihak-pihak terbabit”.
Pengumuman Encik Trump di media sosial adalah contoh terbaharu di mana beliau berundur selepas mengeluarkan ancaman dahsyat. Ini selepas beliau memberi amaran kepada Iran pada awal Selasa bahawa "seluruh tamadun (Iran) akan mati malam ini" jika tuntutannya tidak dipenuhi.Encik Trump berkata perjanjian itu tertakluk kepada persetujuan Iran untuk menghentikan sekatan bekalan minyak dan gas melalui selat itu, yang biasanya mengendalikan kira-kira satu perlima daripada penghantaran minyak global.
"Ini akan menjadi GENCATAN DUA PIHAK!" tulis Trump di platform Truth Social beliau. "Sebabnya berbuat demikian adalah kerana kami sudah pun memenuhi dan melebihi semua objektif tentera, dan berada jauh di hadapan Perjanjian muktamad mengenai DAMAI Jangka Panjang dengan Iran, dan DAMAI di Timur Tengah."
Encik Trump berkata Iran mengemukakan usulan 10 perkara yang merupakan "asas yang boleh digunakan" dalam rundingan dan beliau menjangkakan satu perjanjian akan "dimuktamadkan dan disempurnakan" semasa gencatan senjata selama dua minggu.
Beliau berkata gencatan senjata itu berdasarkan perbualan dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan ketua angkatan pertahanan Pakistan Asim Muni, yang katanya telah meminta agar Amerika Syarikat“menangguhkan pengerahan pasukan pemusnah ke Iran malam ini”.
Ini “tertakluk kepada Republik Islam Iran yang bersetuju untuk membuka Selat Hormuz SEPENUHNYA, SEGERA, dan SECARA SELAMAT”, tambahnya.
“Bagi pihak Amerika Syarikat, sebagai Presiden, dan juga mewakili Negara-negara Timur Tengah, ia bagaikan satu penghormatan untuk menghuraikan masalah jangka panjang ini. Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini!”
ISRAEL DAKWA IRAN LEPASKAN PELURU BERPANDU LAUT
Beberapa minit selepas pengumuman Encik Trump, tentera Israel memberi amaran awal pada Rabu bahawa Iran melancarkan peluru berpandu ke arahnya.
“(Tentera Israel) mengenal pasti peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Israel. Sistem pertahanan beroperasi untuk memintas ancaman itu,” kata pihak tentera di saluran Telegram rasminya.
Letupan kedengaran dari Baitulmakdis dan Jericho di Tebing Barat yang dikuasainya, kata wartawan AFP.
Tentera Israel memberitahu para penduduk di kawasan yang terjejas oleh serangan peluru berpandu agar berlindung di tempat perlindungan bom.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.