Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump selar 'kesilapan besar' NATO kerana enggan bantu operasi tentera Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump selar 'kesilapan besar' NATO kerana enggan bantu operasi tentera Amerika

Presiden Donald Trump semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Ireland Michael Martin di Rumah Putih di Washington, DC pada 17 Mac 2026. (Gambar: REUTERS/Evan Vucci)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 18 Mar 2026 08:00AM Dikemas Kini : 18 Mar 2026 08:27AM
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Selasa (17 Mac) berkata bahawa Amerika Syarikat telah dimaklumkan oleh kebanyakan sekutu NATO bahawa mereka tidak mahu terlibat dengan operasi ketenteraan negara itu di Iran, satu langkah yang digambarkannya sebagai "kesilapan yang sangat bodoh".

Namun Encik Trump tidak memberi sebarang petunjuk bahawa beliau merancang untuk menghukum sekutu-sekutu NATO atas pendirian mereka, ketika beliau menjawab soalan daripada para wartawan di Rumah Putih semasa lawatan Perdana Menteri Ireland Micheal Martin sempena Hari St. Patrick.

Encik Trump berkata negara-negara NATO menyokong perang bersama Amerika-Israel, yang kini telah memasuki minggu ketiga, walaupun mereka tidak mahu terlibat.

"Saya fikir NATO telah melakukan satu kesilapan yang sangat bodoh," kata Encik Trump.

"Semua orang bersetuju dengan kami, tetapi mereka tidak mahu membantu. Dan kami, anda tahu, kami sebagai Amerika Syarikat perlu mengingatkan mereka tentang perkara itu kerana kami fikir ia agak mengejutkan," tambahnya.

Mengenai sama ada beliau akan membalas dendam terhadap sekutu-sekutu NATO kerana menahan diri, Encik Trump berkata beliau "tidak mempunyai apa-apa dalam benak fikirannya buat masa ini".

Encik Trump sebelum ini pernah mengancam untuk mengundurkan Amerika Syarikat daripada NATO tetapi tidak membangkitkan perkara itu pada Selasa (17 Mac).

Encik Trump menggesa negara-negara lain untuk membantu mengawal Selat Hormuz, dengan 20 peratus minyak dunia melalui selat tersebut, selepas Iran bertindak balas terhadap serangan Amerika-Israel menggunakan dron, peluru berpandu dan periuk api untuk menutup terusan itu daripada kapal tangki.

Namun beberapa sekutu Amerika Syarikat berkata pada Isnin (16 Mac) bahawa mereka tidak mempunyai rancangan untuk mengerahkan kapal bagi membantu membuka semula selat itu, sekali gus menolak rayuan Encik Trump untuk mendapatkan sokongan ketenteraan.

Pada awal Selasa (17 Mac), Encik Trump menulis di Truth Social bahawa "Oleh kerana kita telah mencapai Kejayaan Ketenteraan sedemikian, kita tidak lagi 'memerlukan' mereka, atau menginginkan, bantuan negara-negara NATO - KAMI TIDAK PERNAH MELAKUKANNYA!" Beliau merujuk kepada Jepun, Australia dan Korea Selatan.
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita