Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump remehkan laporan entiti China bantu Iran sebelum serangan maut di Jordan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad (13 Sep) meremehkan laporan bahawa Iran memperoleh imej satelit sebuah pangkalan di Jordan daripada entiti China sebelum serangan yang mengorbankan tiga anggota tentera Amerika Syarikat di situ pada Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump remehkan laporan entiti China bantu Iran sebelum serangan maut di Jordan

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di Lapangan Terbang Shannon, Ireland, pada 13 September 2026. (Gambar: REUTERS/Kylie Cooper)

Diterbitkan : 14 Sep 2026 11:21AM
  • Donald Trump menolak laporan bahawa Iran menerima imej satelit pangkalan di Jordan daripada entiti China sebelum serangan yang membunuh tiga tentera Amerika Syarikat pada Julai.
  • Laporan Wall Street Journal memetik pegawai Amerika Syarikat tanpa menamakan entiti China dan tidak menuduh Beijing terlibat secara langsung.
  • Trump menyamakan kegiatan pengintipan China dengan Amerika Syarikat dan menegaskan hubungan baiknya dengan Presiden China Xi Jinping.
  • Kenyataan Trump selari dengan usaha pentadbirannya untuk meredakan ketegangan antara Washington dan Beijing walaupun terdapat isu hubungan China-Iran.
Dijana oleh AI
AIR FORCE ONE: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad (13 Sep) meremehkan laporan bahawa Iran memperoleh imej satelit sebuah pangkalan di Jordan daripada entiti China sebelum serangan yang mengorbankan tiga anggota tentera Amerika Syarikat di situ pada Julai.

Laporan Wall Street Journal baru-baru ini memetik pegawai Amerika Syarikat yang tidak dinamakan berhubung serangan di Jordan itu. Ketika ditanya sama ada beliau akan membangkitkan isu tersebut dalam pertemuan akan datang dengan Presiden China Xi Jinping, Encik Trump tidak menjawab secara langsung, sebaliknya menyamakan kegiatan pengintipan China dengan Amerika Syarikat.

"Mereka pada dasarnya melakukan apa yang kita lakukan," kata beliau kepada para wartawan di dalam pesawat Air Force One. "Apabila mereka berkata China mengintip kita, saya kata anda betul dan kita juga mengintip mereka."

Presiden China dan Amerika Syarikat dijangka bertemu di Amerika Syarikat pada 24 September, meskipun China masih belum mengesahkan secara rasmi bahawa pertemuan tersebut akan berlangsung.

Encik Trump pada Ahad mengulangi pandangannya bahawa beliau mempunyai hubungan baik dengan Encik Xi.

"Saya rasa beliau bertindak dengan agak munasabah, dan kita juga bertindak dengan agak munasabah," kata Encik Trump ketika dalam penerbangan pulang ke Amerika Syarikat selepas lawatan hujung minggu ke Ireland.

Laporan Wall Street Journal itu, yang tidak dapat disahkan Reuters dengan serta-merta, menyatakan bahawa para pegawai Amerika Syarikat enggan mengenal pasti entiti China yang membekalkan imej tersebut kepada Iran dan tidak menuduh Beijing terlibat secara langsung.

Kenyataan Encik Trump dilihat sejajar dengan usaha pentadbirannya baru-baru ini untuk meredakan pelbagai ketegangan antara Washington dengan Beijing, meskipun Amerika Syarikat tidak berpuas hati dengan hubungan rapat Beijing dan Tehran.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita