Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump perjelas ada hak untuk tidak setuju dengan Pope Leo

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump perjelas ada hak untuk tidak setuju dengan Pope Leo

Pope Leo XIV di balkoni St Peter's Basilica di Vatican City, Khamis, 8 Mei 2025. (Gambar: AP/Andrew Medichini)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 17 Apr 2026 11:41AM Dikemas Kini : 17 Apr 2026 11:42AM
WASHINGTON: Presiden Donald Trump meredakan pertelingkahan selama seminggu dengan Pope Leo XIV, dengan berkata bahawa adalah tidak mengapa bagi mereka berdua mempunyai pendekatan berbeza terhadap masalah dunia.

“Saya tidak bergaduh dengannya,” kata Encik Trump, seperti dipetik USA Today.

“Pope boleh berkata apa sahaja yang dia mahu, dan saya mahu dia berkata apa yang dia mahu, tetapi saya boleh tidak bersetuju.”

Kenyataan presiden itu dibuat selepas Encik Trump dan Leo saling bertukar mesej dalam kenyataan kepada media dan di media sosial berhubung perang dengan Iran.

Pope Leo sebelum itu berkata dalam catatannya pada 10 April bahawa sesiapa yang menjadi pengikut ajaran Kristian “tidak pernah berpihak kepada mereka yang pernah menggunakan pedang dan hari ini menggugurkan bom.”

Selepas Encik Trump mengugut Iran pada Ahad (5 Apr), Pope Leo memberitahu media pada 7 April bahawa “terdapat ancaman terhadap seluruh rakyat Iran, dan ini benar-benar tidak boleh diterima.”

APA PUNCA PERTELINGKAHAN TRUMP-POPE LEO?

Encik Trump mengkritik Pope itu di media sosial pada 12 April.

“Pope Leo LEMAH berhubung jenayah, dan teruk dalam dasar luar,” kata Encik Trump, seperti dinukil USA Today.

“Saya tidak mahukan Pope yang mengkritik Presiden Amerika Syarikat kerana saya sedang melakukan apa yang saya dipilih untuk lakukan, SELEPAS MENANG BESAR ... Jika saya tidak berada di Rumah Putih, Pope Leo tidak akan berada di Vatican.”

Naib Presiden JD Vance pada 14 April berkata Pope itu perlu “berhati-hati apabila bercakap tentang perkara teologi.”

Sebagai respons, Biskop James Massa, yang mengetuai jawatankuasa doktrin Persidangan Biskop Katolik Amerika Syarikat, berkata: “Apabila Pope Leo XIV bercakap sebagai paderi tertinggi Gereja sejagat, beliau bukan sekadar memberikan pendapat tentang teologi, tetapi menyampaikan Injil dan menjalankan tugas beliau sebagai pemimpin tertinggi agama Kristian,” menurut kenyataan itu.

Apabila ditanya tentang kenyataan para biskop, Encik Trump berkata beliau mempunyai hak untuk tidak bersetuju.

"Anda tidak boleh membenarkan sebuah negara seperti itu memiliki senjata nuklear. Jika mereka memilikinya, mereka akan menggunakannya, dan saya fikir mereka akan menggunakannya dengan cepat serta membunuh berjuta-juta orang," kata Encik Trump, seperti dipetik USA Today.

Apabila ditanya sama ada beliau merasakan Pope Leo bersikap tidak hormat, Encik Trump menjawab: "Saya tidak melihatnya begitu. Pope perlu faham bahawa Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear."
Sumber : Agensi berita/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita