Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump kecam NATO selepas rundingan tertutup dengan Rutte
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengadakan mesyuarat dua hala dengan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, pada 21 Januari 2026. (Gambar fail: Reuters/Jonathan Ernst)
Kemarahan Encik Trump terhadap sekutu-sekutu NATO atas kegagalan mereka untuk menyertai perangnya menentang Iran telah menimbulkan kebimbangan bahawa beliau akan cuba menarik Amerika Syarikat keluar daripada NATO yang hampir berusia lapan dekad itu.
Dalam ucapan pertamanya selepas pertemuan itu, beliau hanya mengulangi kekecewaannya.
"NATO TIDAK ADA KETIKA KITA MEMERLUKAN MEREKA, DAN MEREKA TIDAK AKAN ADA JIKA KITA MEMERLUKAN MEREKA LAGI," kata Encik Trump di Truth Social.
"JANGAN LUPA GREENLAND, KEPINGAN AIS YANG BESAR !!!" tambahnya, tanpa sebarang penjelasan lanjut.
Sebelum Encik Trump melancarkan perangnya ke atas Iran, ancamannya untuk merampas pulau Artik yang luas itu daripada sekutu NATO, Denmark, merupakan isu utama yang menggemparkan perikatan itu.
Encik Rutte - mantan Perdana Menteri Belanda, yang disifatkan sebagai "penyokong Trump" atas kemahirannya memuji pemimpin Amerika Syarikat itu - memasuki West Gate melalui pintu tepi dan mesyuarat mereka diadakan secara tertutup.
"Ia sangat berterus terang, ia adalah perbincangan yang sangat terbuka," menurut Encik Rutte kepada CNN dalam temu bual televisyen.
Ditanya beberapa kali sama ada Encik Trump telah menyatakan sama ada beliau akan meninggalkan pakatan itu, Encik Rutte tidak menjawab secara langsung.
Setiausaha Media Rumah Putih Karoline Leavitt memberitahu para wartawan sebelum mesyuarat bahawa kemungkinan berlaku pengunduran adalah "sesuatu yang telah dibincangkan oleh presiden, dan saya fikir ia adalah sesuatu yang akan dibincangkan oleh presiden dalam masa beberapa jam lagi dengan Setiausaha Agung Rutte".
Sementara itu, Wall Street Journal melaporkan bahawa Encik Trump sedang mempertimbangkan untuk menghukum beberapa anggota NATO yang dipercayainya tidak membantu semasa konflik dengan mengundurkan tentera Amerika keluar dari negara mereka.
Mesyuarat itu diadakan sehari selepas Amerika Syarikat dan Iran bersetuju dengan gencatan senjata selama dua minggu.
Encik Trump melabelkan NATO sebagai "harimau kertas (pengecut)" kerana enggan memimpin usaha untuk membuka semula Selat Hormuz yang strategik dan kerana mengehadkan tentera Amerika Syarikat daripada menggunakan pangkalan mereka.
Encik Trump mengecam beberapa pemimpin secara peribadi, termasuk menyelar Perdana Menteri Britain Keir Starmer sebagai "bukan seperti Winston Churchill" dan mempersendakan kapal induk Britain sebagai "alat mainan".
Rancangan yang dilaporkan oleh Wall Street Journal itu tidak akan memenuhi ancaman Encik Trump yang dibayangkan akan mengundurkan Amerika Syarikat sepenuhnya dari NATO - satu langkah yang memerlukan kelulusan Kongres.
Menjelang lawatan ke Rumah Putih, Encik Rutte bertemu dengan Setiausaha Negara Marco Rubio untuk berbincang tentang Iran, perang Rusia menentang Ukraine dan tanggungjawab NATO.
"Kedua-dua pemimpin membincangkan Operasi Epic Fury, usaha berterusan yang diketuai Amerika Syarikat untuk menamatkan perang Rusia-Ukraine melalui rundingan, dan meningkatkan penyelarasan dan peralihan beban dengan sekutu-sekutu NATO," kata Timbalan Jurucakap Utama Jabatan Negara, Tommy Pigott.
Encik Rutte juga dijangka bertemu dengan ketua Pentagon, Pete Hegseth semasa beliau berada di Washington.
NATO telah dilanda krisis demi krisis sejak Encik Trump kembali mentadbir tahun lalu - paling ketara oleh ancamannya untuk merampas Greenland.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, beliau juga telah menarik diri daripada Ukraine dalam perangnya menentang Rusia dan mengancam untuk tidak melindungi sekutu-sekutu Amerika Syarikat melainkan mereka membelanjakan lebih banyak dana untuk pertahanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.