Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump ikrar musnahkan uranium Iran dengan atau tanpa perjanjian
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata Washington akan memastikan uranium diperkaya milik Iran dimusnahkan tanpa mengira sama ada perjanjian diplomatik dicapai atau tidak, lapor Anadolu Ajansi yang memetik NBC News.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menegaskan bahawa Iran tidak boleh “membeli atau memperolehi” aset nuklear. (Gambar fail: AP)
This audio is generated by an AI tool.
“Kami akan mengeluarkan dan memusnahkannya, sama ada di tapak berkenaan atau selepas dipindahkan keluar dari tapak itu,” kata Encik Trump kepada NBC News dalam satu temu bual yang disiarkan pada Ahad (7 Jun).
Beliau menambah Amerika Syarikat akan bertindak “dengan mereka atau tanpa mereka”.
Encik Trump berkata Amerika Syarikat akan mengeluarkan uranium diperkaya Iran “melalui tindakan ketenteraan, dengan amat tegas” sekiranya tiada perjanjian dicapai, sambil menambah: “Kita tidak akan berdepan serangan” sekiranya kedua-dua pihak “bergerak sehaluan.”
Presiden Amerika Syarikat itu menegaskan bahawa teknologi pasukan Angkatan Tentera Angkasa kini memantau kira-kira 453.6 kilogram uranium diperkaya yang terperangkap di bawah runtuhan tapak yang sebelum ini menjadi sasaran serangan.
Mengenai rundingan damai yang sedang berlangsung, Encik Trump berkata kedua-dua pihak “sangat hampir” untuk mencapai satu perjanjian, namun beliau menuntut satu syarat tambahan bagi menghalang Tehran daripada memperolehi senjata nuklear melalui apa jua cara.
Beliau menegaskan bahawa perjanjian itu mesti menetapkan bahawa Iran tidak boleh “membeli atau memperolehi” aset nuklear daripada sumber lain. Beliau berkata Tehran kurang bersetuju dengan tuntutan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.