Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump ikrar Iran akan 'terima padah' selepas sebilangan askar Amerika terbunuh

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump ikrar Iran akan 'terima padah' selepas sebilangan askar Amerika terbunuh

Kenderaan melepasi sebuah monumen yang memaparkan penumbuk milik mendiang Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, di Dataran Revolusi Islam di Tehran pada Ahad, 19 Julai 2026. (Gambar: AP/Vahid Salemi)

Diterbitkan : 21 Jul 2026 07:18AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin (20 Jul) berkata Iran akan "menerima padah" kerana membunuh anggota tentera Amerika selepas beberapa askarnya maut pada hujung minggu lalu dalam perang Amerika Syarikat terhadap Iran.

Ini sekali gus menjadikannya antara hari paling berdarah bagi tentera Amerika sejak perang itu bermula pada Februari.

Jumlah anggota tentera Amerika yang terbunuh dalam perang terhadap Iran meningkat kepada 17 orang pada hujung minggu lalu, manakala mayat seorang lagi anggota masih dalam proses pengecaman. Dua daripada mereka disahkan terbunuh dalam serangan Iran ke atas anggota tentera Amerika di Jordan.

"Setiap kali Iran membunuh seorang anggota tentera Amerika, ia akan menerima padah yang jauh lebih besar," tulis Encik Trump di platform Truth Social.

"Arahan ini telah disampaikan kepada Setiausaha Perang Pete Hegseth dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Daniel Caine."

Pada Mac, enam anggota tentera Amerika terbunuh selepas sebuah dron Iran merempuh sebuah kemudahan tentera Amerika di Pelabuhan Shuaiba, Kuwait.

Kira-kira 430 anggota tentera Amerika cedera dalam perang itu setakat ini.

Rumah Putih memaklumkan Encik Trump akan menghadiri upacara penerimaan jasad anggota tentera yang terbunuh di Pangkalan Tentera Udara Dover di Delaware.

Masih tidak jelas apakah "arahan" khusus yang disampaikan Encik Trump kepada Pentagon.

Namun, seorang pegawai Amerika memberitahu Reuters bahawa sebelum serangan maut di Jordan itu, Amerika Syarikat sudah mula menghantar tambahan pesawat tentera ke Timur Tengah, termasuk pesawat pejuang dan pesawat pengisian minyak di udara.

Joe Kent, yang mengetuai Pusat Kebangsaan Antikeganasan sehingga Mac, berkata tindakan saling menyerang antara Amerika dengan Iran berisiko mencetuskan peningkatan perang.

"Keluarkan tentera kami sekarang sebelum berdepan serangan yang mengorbankan ramai anggota. Hentikan kitaran peningkatan perang," tulis Encik Kent di platform X selepas meletakkan jawatan menyusuli keputusan Encik Trump melancarkan perang terhadap Iran.

Sepanjang minggu lalu, Encik Trump mengancam untuk meluaskan sasaran serangan di Iran sehingga merangkumi loji tenaga dan jambatan, selain menghantar tentera darat untuk merampas hab minyak Pulau Kharg milik Iran serta mengebom sebuah tapak berkaitan nuklear yang terletak jauh di bawah tanah dan dikenali sebagai Pickaxe Mountain.

Sumber memberitahu Reuters bahawa gelombang serangan terbaharu Amerika ke atas Iran, yang bertujuan memaksa pembukaan Selat Hormuz, turut menyasarkan keupayaan ketenteraan Iran yang mahu dimusnahkan Washington sebelum melaksanakan operasi yang lebih rumit terhadap negara itu.

Perang tersebut, termasuk kos kewangannya, dijangka menjadi tumpuan dalam sesi pendengaran Kongres pada Selasa yang melibatkan Encik Hegseth dan Encik Caine.
Sumber : AFP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita