Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump hadapi pilihan raya pertengahan penggal tanpa banyak kejayaan dasar luar
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bersama Wanita Pertama Melania Trump menghadiri satu acara di Taman Mawar, Rumah Putih, Washington, pada 20 Ogos 2026. (Gambar fail: REUTERS/Tierney Cross)
- Presiden Donald Trump menghadapi kebuntuan dalam dasar luar, termasuk perang dengan Iran, konflik di Ukraine dan Gaza, menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
- Pentadbiran Trump menggunakan tekanan ekonomi dan ketenteraan, namun usaha diplomatik seperti rundingan damai Gaza dan Ukraine tidak membuahkan hasil.
- Kesan perang Iran menyebabkan harga petrol naik dan sokongan rakyat terhadap Trump menurun, memberi tekanan kepada Parti Republican di Kongres.
- Penganalisis menyatakan pendekatan Trump mengubah norma diplomatik, tetapi belum menghasilkan penyelesaian berkekalan, sementara lawan politik memilih untuk menunggu perubahan di Washington.
WASHINGTON: Dengan perang Amerika Syarikat dengan Iran kini menemui kebuntuan yang semakin membebankan, manakala ketegangan di Ukraine dan Gaza masih belum dapat dihuraikan, agenda dasar luar Presiden Donald Trump dilihat tersekat menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.
Keadaan itu ketara bagi seorang Presiden yang kembali memegang jawatan tahun lalu dengan janji untuk menjadi seorang "pendamai" dan menjadikan usaha menghuraikan pertikaian antarabangsa sebagai antara agenda utama penggal keduanya.
Encik Trump kini semakin tidak sabar berdepan dengan soalan para wartawan dan juga sekutu Amerika.
Minggu ini, beliau membidas wartawan yang mengajukan soalan mengenai dasar luar Amerika dan sekali lagi mengancam untuk mengebom Oman, sekutu Amerika yang sedang berunding dengan Iran bagi membuka semula Selat Hormuz.
Hari Buruh pada 7 September lazimnya menandakan kempen pilihan raya Amerika mula memasuki fasa lebih rancak.
Parti Republican kini berdepan kemungkinan bahawa ketegangan di luar negara yang masih belum dihuraikan serta kesannya terhadap ekonomi domestik boleh menjejas penguasaan parti itu di Dewan Kongres.
PERANG IRAN BERI KESAN POLITIK
Encik Trump membatalkan rundingan dengan Tehran selepas berminggu-minggu mendesak satu penyelesaian diplomatik.
Pada Rabu (19 Ogos), beliau mengumumkan kempen baharu "perang ekonomi" terhadap Iran, yang dilihat sebagai pengakuan bahawa serangan ketenteraan selama berbulan-bulan belum berjaya memaksa Tehran membuat konsesi yang dikehendaki Washington.
Ketika inflasi berterusan dan perang Iran mendorong kenaikan harga petrol, kadar sokongan terhadap Encik Trump jatuh ke paras terendah yang baharu.
Tinjauan Reuters/Ipsos terkini menunjukkan hanya 33 peratus rakyat Amerika berpuas hati dengan prestasinya.
Usaha lain untuk menjadi pengantara dalam rundingan damai turut menemui jalan buntu.
Pada Isnin (17 Ogos), menantu dan perunding Encik Trump, Jared Kushner, pulang tanpa mencapai kemajuan dalam rundingan mengenai perjanjian damai Gaza.
Lawatan yang dijangkakan ke Kyiv oleh Encik Kushner dengan utusan Encik Trump, Steve Witkoff, bagi menghidupkan semula rundingan untuk menamatkan perang Rusia di Ukraine juga masih belum berlangsung.
Selepas beberapa kejayaan dasar luar pada awal penggalnya, termasuk gencatan senjata Gaza dan penangkapan pemimpin Venezuela, rekod Encik Trump kini semakin dibayangi usaha diplomatik yang tersekat.
Felo Brookings Institution Asli Aydintasbas berkata Encik Trump berjaya mencabar dan mengubah pendekatan dasar luar tradisional Washington, tetapi belum berjaya menterjemahkannya kepada strategi yang memberikan hasil kepada rakyat Amerika.
PERANG IRAN UJI TRUMP DI DALAM NEGERI
Seorang sekutu Encik Trump yang enggan dinamakan berkata perang dengan Iran memberi tekanan besar terhadap Presiden Amerika itu dan belum ada kata sepakat dalam Rumah Putih mengenai cara menghuraikannya.
Tekanan itu boleh meningkat sekiranya para pelabur menjangkakan perang akan berlarutan, sekali gus meningkatkan kos pinjaman Amerika dan mengehadkan lagi agenda domestik Encik Trump.
Encik Trump bagaimanapun menegaskan kos ekonomi tersebut berbaloi bagi memastikan Iran tidak memperolehi senjata nuklear.
Tehran menafikan ia berusaha membangunkan senjata sedemikian.
Jurucakap Rumah Putih Anna Kelly mempertahankan rekod Presiden dengan berkata Encik Trump sudah menjadikan Amerika kembali dihormati, menamatkan sembilan perang, membebaskan tebusan dari Gaza dan mencapai perjanjian perdagangan yang lebih adil.
Beliau turut menegaskan Iran akan dihalang daripada memiliki senjata nuklear.
Seorang pegawai kanan pentadbiran Encik Trump pula berkata sekatan Amerika dan sekatan laut sudah melumpuhkan ekonomi Iran dan Washington masih mempunyai pelbagai cara untuk meningkatkan tekanan dalam beberapa minggu akan datang.
PENDEKATAN LUAR BIASA, HASIL BERCAMPUR-CAMPUR
Sebahagian pakar memberikan Encik Trump pujian kerana kesediaannya menangani isu yang dianggap gagal atau tidak mahu dihuraikan Presiden Amerika sebelum ini.
Zamil Kanan Hudson Institute Nick Snyder berkata Encik Trump mahukan dunia yang lebih stabil dan berusaha menghuraikan pelbagai pertikaian, termasuk perang Ukraine serta isu perdagangan.
Encik Trump turut memainkan peranan dalam usaha menghuraikan ketegangan antara Rwanda dengan Republik Demokratik Congo serta Thailand dengan Kemboja.
Namun, pendekatannya mengubah norma diplomatik tradisional dengan banyak bergantung pada kekuatan ekonomi dan ketenteraan Amerika untuk memberikan tekanan, termasuk terhadap sekutu Washington.
Pendekatan tersebut sejauh ini menghasilkan keputusan yang bercampur-campur.
Usahanya membawa pihak-pihak bertelagah ke meja rundingan bagi menamatkan serangan Rusia ke atas Ukraine belum menghasilkan penyelesaian.
Serangan udara Rusia terbaru mengorbankan 16 orang di Kyiv pada Khamis (20 Ogos).
Di Gaza, para pengantara bimbang serangan Israel yang semakin meningkat boleh menjejas usaha menamatkan ketegangan apabila Israel dan Hamas masih belum bersetuju mengenai syarat bagi meneruskan rancangan damai yang dirangka Encik Trump pada Oktober tahun lalu.
Di Lubnan pula, serangan udara Israel mengorbankan 11 orang pada Ahad (16 Ogos), meskipun kerangka damai antara Israel dengan Lubnan yang diusahakan Amerika masih berkuat kuasa.
Satu kejayaan ketara Encik Trump adalah di Venezuela, apabila tentera Amerika memberkas Presiden Nicolas Maduro tanpa sebarang korban dalam kalangan anggota tentera Amerika.
Namun, para penganalisis berpendapat kejayaan itu mungkin mendorong Encik Trump menjangkakan tindakan ketenteraan terhadap Iran juga akan berjalan lancar.
Sebaliknya, perang tersebut kini berlarutan.
Zamil Kanan Carnegie Endowment for International Peace Stephen Wertheim berpandangan Encik Trump terlalu bergantung kepada tekanan bagi memaksa pihak lain mengikut kehendaknya tanpa mengambil kira matlamat strategik dan politik domestik mereka.
MASA SEMAKIN SUNTUK MENJELANG PILIHAN RAYA
Tekanan politik semakin meningkat dengan Parti Republican berdepan pilihan raya yang boleh menyebabkannya kehilangan penguasaan satu atau kedua-dua dewan Kongres.
Jika itu berlaku, keupayaan Encik Trump melaksanakan agendanya dalam dua tahun terakhir penggal Presiden boleh terjejas dengan ketara.
Para penganalisis berkata tekanan kuat Amerika mungkin berjaya membawa pihak lawan ke meja rundingan tetapi tidak semestinya menghasilkan penyelesaian berkekalan.
Menurut Cik Aydintasbas, pihak lawan Amerika memahami bahawa tempoh politik Encik Trump lebih singkat berbanding mereka.
Beliau berkata Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden China Xi Jinping dan Iran mungkin memilih untuk menunggu sehingga kedudukan politik Washington berubah.
Selepas pilihan raya November, katanya, dorongan untuk terus menunggu Encik Trump mungkin menjadi lebih kuat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.