Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump gesa Israel elak serangan balas selepas Iran bertindak balas terhadap serangan di Beirut
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Ahad (7 Jun) bahawa beliau akan meminta Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu supaya tidak melakukan serangan balas selepas Iran melancarkan beberapa gelombang peluru berpandu ke atas sasaran Israel sebagai tindak balas terhadap serangan di pinggir Beirut, lapor Axios.
Jejak cahaya menerangi ruang udara di tengah-tengah serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel, seperti yang dilihat dari Ashkelon, Israel, pada 7 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Amir Cohen)
This audio is generated by an AI tool.
Iran sejak sekian lama menegaskan bahawa sebarang perjanjian damai dengan Amerika Syarikat bergantung kepada gencatan senjata yang turut dilaksanakan di Lubnan, yang diceroboh Israel pada Mac dalam usahanya memburu para anggota Hezbollah yang disokong Iran, yang melancarkan roket serta dron merentasi sempadan sebagai tanda perpaduan dengan Tehran.
Namun, Israel pada Ahad melancarkan serangan di kawasan Beirut buat pertama kali sejak Amerika Syarikat mengumumkan pelan gencatan senjata bagi Lubnan minggu lalu.
Pengawal Revolusi Iran menyatakan bahawa mereka menyasarkan pangkalan udara Ramat David, berhampiran Nazareth.
Tentera Israel pula menyatakan bahawa pihaknya mengesan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran dan sistem pertahanannya berjaya memintas peluru berpandu tersebut.
Encik Trump, yang menghabiskan hujung minggu di kelab golf miliknya di Bedminster, New Jersey, dan Encik Netanyahu berbual menerusi telefon selama kurang setengah jam, menurut seorang pegawai Israel tanpa memberikan sebarang butiran lanjut.
Rumah Putih dan pejabat Perdana Menteri Israel tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan komen.
Awal dari itu, Encik Trump memberitahu Axios bahawa beliau akan mendesak Encik Netanyahu supaya tidak bertindak balas.
“Israel sudah melancarkan serangannya dan Iran juga sudah melancarkan serangannya. Kita tidak memerlukan satu lagi serangan,” kata Encik Trump.
“Kita sangat hampir mencapai perjanjian muktamad dengan Iran. Ia akan menjadi satu perjanjian yang baik. Saya tidak mahu ia musnah disebabkan oleh apa yang sedang berlaku sekarang.”
Israel akan bertindak balas, menurut satu sumber Israel kepada Reuters dengan syarat identitinya tidak didedahkan menyusuli serangan Iran itu.
Tidak lama selepas tengah malam waktu tempatan, tentera Israel mengeluarkan satu kenyataan ringkas yang memetik Ketua Staf Eyal Zamir sebagai berkata bahawa tenteranya setakat ini belum diarahkan untuk menyerang Iran, namun akan berbuat demikian "dengan penuh tekad" sebaik sahaja menerima arahan.
Sejak bermulanya rundingan Amerika Syarikat-Iran yang bertujuan menamatkan perang, Israel terus melancarkan serangan di Lubnan dalam konfliknya dengan Hezbollah, yang menurut para pegawai Israel perlu diasingkan daripada sebarang gencatan senjata dengan Iran. Tehran pula menuntut agar sebarang perjanjian damai dengan Amerika Syarikat merangkumi Lubnan, sambil memberi amaran bahawa serangan Israel di negara itu menjejaskan rundingan yang sedang berlangsung.
Ketua perunding perdamaian Iran merangkap Speaker Parlimennya, Mohammed Baqer Qalibaf, berkata pangkalan tentera Amerika Syarikat dan aset Israel merupakan sasaran yang sah berikutan tindakan bermusuhan yang dilakukan, termasuk "pelanggaran perjanjian berkaitan Lubnan".
Sebelum Ahad, Iran tidak pernah menyasarkan Israel sejak gencatan senjata dalam perang yang lebih meluas itu bermula pada April, walaupun Hezbollah berbuat demikian.
Encik Trump berulang kali menegaskan bahawa Washington dan Tehran hampir mencapai persetujuan untuk menamatkan perang.
“Kami sangat hampir mencapai perjanjian, atau saya akan membedil mereka habis-habisan,” kata Encik Trump dalam program "Meet the Press" terbitan NBC News dalam satu temu bual yang dirakam lebih awal dan disiarkan pada Ahad sempena hari ke-100 perang tersebut.
TRUMP TIDAK MAHU SERANGAN DI LUBNAN
Encik Trump menekan Israel supaya menghentikan serangannya di Lubnan bagi memberi ruang kepada perjanjian damai dengan Iran, termasuk memarahi Encik Netanyahu dengan kata-kata kesat dalam satu panggilan telefon pada minggu lalu. Selepas panggilan itu, Encik Netanyahu dilihat membatalkan rancangan untuk menyerang Beirut.
Namun, Israel tidak pernah menghentikan sepenuhnya kempen ketenteraannya di Lubnan, yang telah mengorbankan ribuan nyawa dan memaksa ratusan ribu penduduk untuk meninggalkan kediaman mereka.
Hezbollah, yang tidak terlibat dalam rundingan gencatan senjata, turut meneruskan serangannya dan menegaskan bahawa kumpulan itu tidak akan melucutkan senjata selagi Israel tidak menghentikan serangan dan berundur dari Lubnan.
Encik Netanyahu berkata serangan Israel pada Ahad di kawasan pinggir selatan Beirut, sebuah wilayah yang dikenali sebagai Dahiyeh dan sekian lama menjadi kubu kuat Hezbollah, dilancarkan sebagai tindak balas terhadap serangan Hezbollah ke arah Israel.
Perang yang lebih meluas itu menemui jalan buntu sejak Amerika Syarikat dan Israel menghentikan serangan mereka ke atas Iran pada awal April, dengan Tehran menyekat sebahagian besar perkapalan yang melalui Selat Hormuz, laluan utama bagi penghantaran minyak Timur Tengah. Manakala, Washington pula mengenakan kepungan perkapalan ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran.
Walaupun Washington dan Tehran menyatakan bahawa mereka hampir mencapai perjanjian awal yang akan membolehkan Selat Hormuz dibuka semula, kedua-dua pihak berulang kali saling melancarkan serangan, dengan peningkatan ketegangan sejak kebelakangan ini turut melibatkan serangan ke atas negara-negara Arab berhampiran yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat.
Dalam pada itu, Encik Trump berkata sebarang perjanjian untuk menamatkan perang mesti menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear.
Beliau juga berdepan tekanan untuk menetapkan syarat-syarat yang lebih tegas berbanding perjanjian yang dicapai pada 2015 di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama ketika itu, yang kemudian ditolak Encik Trump.
Tuntutan Tehran termasuk penarikan sekatan Amerika Syarikat dan antarabangsa, pengiktirafan terhadap pengaruhnya di Selat Hormuz serta pembebasan aset bernilai berbilion dolar yang dibekukan.
Satu sumber yang mengetahui tentang rancangan Amerika Syarikat memberitahu Reuters pada Sabtu bahawa Washington mungkin memberikan aset Iran kepada negara-negara jiran di Teluk untuk membiayai kerja-kerja pembaikan bagi kerosakan yang disebabkan oleh serangan Iran.
Timbalan Menteri Luar Iran Kazem Gharibabadi berkata pada Ahad bahawa sebarang penggunaan aset Iran sedemikian adalah menyalahi undang-undang dan Tehran akan mengambil tindak balas terhadap langkah tersebut.
Minggu lalu, Encik Netanyahu dikecam oleh lawan politiknya berhubung gencatan senjata baharu di Lubnan menjelang pilihan raya negara itu,tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.