Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump dakwa perjanjian sementara dengan Iran untuk tamatkan perang sudah 'berakhir'
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Rabu (8 Jul) bahawa memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama Iran untuk menamatkan konflik, sudah pun "berakhir".
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bertemu dengan Setiausaha Agung NATO Mark Rutte di luar mesyuarat NATO di Kompleks Presiden Bestepe di Ankara, Turki pada 8 Julai 2026. (Gambar: AP/Alex Brandon)
Beliau menambah tidak mahu berurusan dengan Tehran dan menyifatkan kepimpinan Iran sebagai "golongan tidak waras".
Perjanjian gencatan senjata sementara yang dimeterai antara Washington dengan Tehran - di bawah pengantaraan Pakistan - bertujuan menyediakan tempoh rundingan selama 60 hari bagi perjanjian berkekalan, namun rundingan secara tidak langsung di Qatar berakhir pada minggu lalu tanpa sebarang tanda kemajuan.
"Saya rasa ia sudah berakhir. Saya tidak mahu berurusan dengan mereka lagi," kata Encik Trump di satu sidang puncak NATO di ibu kota Ankara di Turki apabila ditanya sama ada gencatan senjata dengan Iran sudah berakhir.
"Mereka itu golongan sampah, mereka tidak waras, mereka dipimpin oleh golongan tidak waras, dan mereka adalah golongan yang kejam dan ganas."
"Sejauh mana saya tahu, ia sudah berakhir," katanya di samping Setiausaha Agung NATO Mark Rutte, sambil menambah: "Hanya buang masa berurusan dengan mereka".
Encik Trump berkata beliau akan berbincang dengan ahli perniagaan yang kini perunding Steve Witkoff dan menantunya, Jared Kushner, yang berurusan dengan Iran, tetapi menekankan ia terserah kepada Tehran untuk kembali ke meja rundingan.
Amerika Syarikat sebelum ini melancarkan serangan baharu terhadap Iran dan membatalkan lesen yang membolehkan Iran untuk menjual minyak selepas tiga kapal tangki diserang peluru berpandu di Selat Hormuz.
Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) menyatakan lebih 60 bot kecil milik Kor Pengawal Revolusi Islamik Iran (IRGC) merupakan antara sasaran yang diserang, dalam tindak balas yang bertujuan mengenakan kos yang tinggi terhadap Iran kerana menyerang kapal-kapal sekaligus melanggar gencatan senjata.
IRGC menyatakan ia menyasarkan tapak-tapak tentera Amerika di Bahrain dan Kuwait sebagai tindak balas.
Komando tentera bersama tertinggi Iran, Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya mengecam serangan Amerika itu sebagai "tindakan keganasan secara terang-terangan", mengancam melakukan "tindak balas dahsyat" dan memberi amaran bahawa Tehran tidak akan membenarkan campur tangan Amerika dalam pengurusan selat itu.
Di bawah perjanjian sementara antara Amerika dengan Iran, Jabatan Perbendaharaan Amerika mengeluarkan lesen am pada 22 Jun bagi membenarkan penjualan minyak mentah dan produk petrokimia dan petroleum yang berasal dari Iran sehingga 21 Ogos.
Dengan membatalkan lesen tersebut pada Selasa, ia memberikan tempoh sehingga 17 Julai kepada Iran untuk menghentikan secara berperingkat sebarang urus niaga.
Encik Trump menambah para utusan Amerika boleh meneruskan dengan perbincangan tetapi beliau rasa ragu-ragu terhadap hasilnya.
"Mereka boleh berbincang tetapi saya rasa mereka hanya membuang masa," katanya.
Encik Trump menuduh pihak Iran berulang kali memberikan gambaran salah mengenai apa yang dipersetujui dalam gencatan senjata antara Washington dengan Tehran pada 17 Jun.
"Semua orang bersetuju, tiada senjata nuklear. Kita membuat perjanjian. Mereka keluar, berseloroh kepada pihak media. Mereka katakan kita tidak pernah berbincang mengenainya. Ada sesuatu yang tidak kena dengan mereka, mereka kurang waras," kata Encik Trump.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.