Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump dakwa perang Iran mungkin berterusan 3 minggu lagi

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (4 Mei) bahawa perang dengan Iran boleh berlanjutan untuk tempoh dua atau tiga minggu lagi, lapor Agensi Anadolu.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump dakwa perang Iran mungkin berterusan 3 minggu lagi

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bercakap kepada media sebelum menaiki pesawat Air Force One untuk berlepas ke Miami, Florida, di Lapangan Terbang Antarabangsa Palm Beach di West Palm Beach, Florida, Amerika Syarikat, pada 2 Mei 2026. (Gambar: REUTERS/Nathan Howard)

Diterbitkan : 06 May 2026 07:10AM Dikemas Kini : 06 May 2026 07:45AM
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (4 Mei) bahawa perang dengan Iran boleh berlanjutan untuk tempoh dua atau tiga minggu lagi, lapor Agensi Anadolu.

“Masa bukan penghalang bagi kami,” kata Encik Trump dalam satu temu bual telefon dengan penyampai radio Hugh Hewitt, selain enggan menyatakan sama ada gencatan senjata dengan Iran sudah berakhir susulan laporan mengenai serangan Iran ke arah Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Ketika ditanya sama ada perkembangan pada Isnin menandakan konflik kembali memuncak, Encik Trump berkata: “Dalam apa jua keadaan, kita akan menang.”

"Sama ada kita capai perjanjian yang tepat, atau kita menang dengan sangat mudah," katanya.

"Dari sudut ketenteraan, kita sudah pun memenanginya. Anda tahu, anda pernah dengar saya katakan berkali-kali, dan orang lain juga berkata: Mereka mempunyai 159 kapal, Hugh. Sekarang, mereka tidak mempunyai apa-apa. Semuanya berada di dasar laut."

Beliau menambah bahawa Amerika Syarikat pada Isnin "memusnahkan" lapan bot kecil dan laju yang dilengkapi mesingan. “Kita akan lihat apa yang berlaku,” katanya.

Encik Trump juga berkata Amerika Syarikat mempunyai “kawalan” ke atas Selat Hormuz, sambil memberi amaran tentang potensi risiko terhadap trafik maritim.

“Satu perkara yang anda tidak boleh halang ialah jika seseorang mahu meletakkan periuk api kecil ... dan anda kebetulan memiliki kapal bernilai berbilion dolar,” katanya. “Saya tidak pasti anda akan berasa teruja untuk melayarkannya.”

Beliau turut mendakwa rakyat Iran “sedang mendapatkan senjata” untuk menentang kerajaan di Tehran, sambil menambah bahawa “sebaik sahaja mereka mempunyai senjata, mereka akan berjuang sama hebat dengan sesiapa sahaja.”

Ketegangan serantau memuncak sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari, yang mencetuskan tindak balas daripada Tehran terhadap Israel serta sekutu Amerika di Teluk, selain gangguan di Selat Hormuz.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian yang berkekalan, dengan tempoh gencatan itu kemudiannya dilanjutkan.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita