Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump dakwa gencatan senjata masih bertahan meski pertempuran Amerika-Iran kembali tercetus

Tentera Amerika Syarikat dan Iran bertempur di Teluk, manakala Amiriah Arab Bersatu (UAE) sekali lagi diserang, sekali gus mengancam gencatan senjata yang sudah bertahan selama sebulan, selain menggugat harapan bagi penghuraian diplomatik terhadap perang tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump dakwa gencatan senjata masih bertahan meski pertempuran Amerika-Iran kembali tercetus

Tentera laut Iran melepaskan peluru berpandu ke arah lokasi yang tidak diketahui, dalam satu petikan video yang dikeluarkan pada 8 Mei 2026. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 08 May 2026 05:38PM
WASHINGTON/KAHERAH: Tentera Amerika Syarikat dan Iran bertempur di Teluk, manakala Amiriah Arab Bersatu (UAE) sekali lagi diserang, sekali gus mengancam gencatan senjata yang sudah bertahan selama sebulan, selain menggugat harapan bagi penghuraian diplomatik terhadap perang tersebut.

Peningkatan pertempuran itu berlaku sedang Washington menunggu maklum balas Tehran terhadap cadangannya untuk menamatkan perang, yang bermula dengan serangan udara Amerika Syarikat-Israel di seluruh Iran pada 28 Februari.

Presiden Donald Trump berkata pada Khamis (7 Mei) bahawa tiga kapal pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat diserang ketika melalui Selat Hormuz, yang merupakan laluan bagi sekitar satu perlima daripada aliran minyak dan gas asli cecair dunia dan hampir ditutup sepenuhnya oleh Iran sejak perang bermula.

“Tiga kapal pemusnah bertaraf dunia milik Amerika Syarikat baru sahaja melalui Selat Hormuz dengan berjaya walaupun ditembak. Tiada kerosakan dialami oleh ketiga-tiga kapal pemusnah itu, tetapi kerosakan besar dialami pihak penyerang Iran,” tulis Encik Trump di Truth Social.

Encik Trump kemudian memberitahu para wartawan bahawa gencatan senjata masih berkuat kuasa, selain mencuba untuk memperlekehkan kejadian tersebut.

“Mereka cuba mengganggu kami hari ini. Kami musnahkan mereka,” kata Encik Trump di Washington.

Markas tertinggi tentera bersama Iran menuduh Amerika Syarikat melanggar gencatan senjata dengan menyasarkan sebuah kapal tangki minyak Iran dan sebuah lagi kapal, selain melancarkan serangan udara ke atas kawasan awam di Pulau Qeshm di Selat Hormuz serta kawasan-kawasan pesisir berhampirannya.

Tentera Iran menyatakan ia bertindak balas dengan menyerang kapal tentera Amerika Syarikat di timur selat tersebut dan selatan pelabuhan Chabahar.

Jurucakap Markas Pusat Khatam al-Anbiya Iran berkata serangan Iran menyebabkan “kerosakan besar”, namun Markas Pusat Amerika Syarikat CETCOM menyatakan tiada asetnya yang terkena serangan.

Press TV Iran kemudian melaporkan bahawa selepas beberapa jam berbalas tembakan, “keadaan di pulau-pulau Iran dan bandar-bandar pesisir di Selat Hormuz kini kembali normal”.

Kedua-dua pihak beberapa kali berbalas tembakan sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 7 April, dengan Iran menyerang sasaran-sasaran di negara-negara Teluk termasuk Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Tidak banyak maklumat yang diperolehi setakat ini berhubung serangan terkini terhadap UAE. Sejak perang bermula, Iran kerap menyasarkan UAE dan negara-negara Teluk lain yang menempatkan pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita