Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump dakwa gencatan senjata Amerika-Iran 'sangat rapuh' selepas tolak saranan terbaharu

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (11 Mei) bahawa gencatan senjata Iran kini 'sangat rapuh' setelah menolak cadangan terkini Tehran, di mana para pegawai berkata ia termasuk beberapa pelepasan nuklear.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump dakwa gencatan senjata Amerika-Iran 'sangat rapuh' selepas tolak saranan terbaharu

Penunggang motosikal berlalu di hadapan papan iklan yang memparkan mendiang Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei di Tehran, Iran pada Rabu (6 Mei 2026. (Gambar: AP/Vahid Salemi)

Diterbitkan : 12 May 2026 07:43AM Dikemas Kini : 12 May 2026 07:45AM
DUBAI: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (11 Mei) bahawa gencatan senjata Iran kini 'sangat rapuh' setelah menolak cadangan terkini Tehran, di mana para pegawai berkata ia termasuk beberapa pelepasan nuklear.

Encik Trump juga mengusulkan untuk menggantung cukai gas persekutuan bagi membantu menangani harga bahan api yang meningkat disebabkan oleh perang.

Usaha diplomasi yang terbantut dan serangan balas baru-baru ini boleh menyebabkan Timur Tengah kembali terjebak dalam peperangan terbuka dan memanjangkan krisis tenaga seluruh dunia yang dicetuskan oleh perang itu.

Iran masih mengawal Selat Hormuz, iaitu laluan air penting bagi penghantaran gas dan minyak global, dan Amerika masih mengepung pelabuhan Iran.

Apabila ditanya di Rumah Putih jika gencatan senjata masih berkuat kuasa, Encik Trump berkata ia 'sangat rapuh'.

"Saya dapat menyifatkannya sebagai paling rapuh sekarang selepas membaca cadangan tidak masuk akal yang mereka hantar," kata Encik Trump. "Saya malah tidak habis membacanya."

Encik Trump juga berkata beliau menyokong penggantungan cukai persekutuan terhadap gasolin - iaitu 18 sen bagi setiap gelen dan 24 sen bagi diesel.

Kongres yang dikawal oleh parti Republican, perlu meluluskannya.

Cukai itu membawa masuk lebih AS$23 bilion (S$29.1 bilion) setiap tahun.

Ikrarnya dibuat setelah harga minyak melonjak AS$4.50 (S$5.71) segelen pada minggu lalu.

Encik Trump meramalkan bahawa harga gas dan minyak akan merosot "dengan mendadak" sebaik sahaja keganasan berakhir.

KEDUA-DUA PIHAK MASIH TIDAK SEHALUAN

Encik Trump menuntut supaya kegiatan nuklear Iran dikurangkan dengan ketara, manakala Iran berusaha bagi perjanjian lebih terhad yang akan membuka semula selat itu dan menarik balik sekatan menjelang rundingan lanjut.

Pada Isnin, Encik Trump mendakwa Iran menyatakan ia akan membenarkan Amerika Syarikat untuk membantu memperoleh uranium yang diperkaya, namun mengubah fikiran mereka dalam usulan gencatan senjata yang terkini.

"Mereka mengubah fikiran kerana mereka tidak menyertakannya dalam usulan tersebut," katanya.

Iran belum lagi secara terbuka bersetuju untuk melepaskan bahan uranium, sambil menegaskan ia berhak untuk memperkaya dan program nuklearnya aman sepenuhnya.

Dua pegawai serantau memberitahu The Associated Press bahawa Iran menawarkan untuk memperoleh sebahagian daripada uranium yang diperkaya dan memindahkan selebihnya ke sebuah negara ketiga.

Rusia sebelum ini menawarkan untuk mengambil bahan uranium itu.

Encik Trump juga dijangka memanfaatkan lawatan ke China pada minggu ini untuk mendesak Presiden Xi Jinping supaya mendesak Iran.

Beijing merupakan pembeli terbesar minyak mentah Iran yang disekat, sekali gus memberikannya kelebihan.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita