Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump cadang Selat Hormuz dinamakan semula sebagai 'Selat Trump'

Presiden Donald Trump pada Rabu (1 Sep) mencadangkan agar Selat Hormuz dinamakan semula sebagai "Selat Trump", sambil menegaskan bahawa Amerika Syarikat kini menguasai laluan perairan penting tersebut meskipun pertempuran dengan Iran terus berlaku di kawasan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump cadang Selat Hormuz dinamakan semula sebagai 'Selat Trump'

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semasa perlawanan akhir Patriot Games 2026 di SPIRE Academy di Geneva, Ohio, Amerika Syarikat, pada 11 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Kylie Cooper)

Diterbitkan : 03 Sep 2026 07:36AM
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Rabu (1 Sep) mencadangkan agar Selat Hormuz dinamakan semula sebagai "Selat Trump", sambil menegaskan bahawa Amerika Syarikat kini menguasai laluan perairan penting tersebut meskipun pertempuran dengan Iran terus berlaku di kawasan tersebut.

Ia merupakan cadangan terbaharu Encik Trump dalam siri perubahan nama dari segi geografi, selepas beliau menyatakan bahawa Amerika mempunyai kedaulatan ke atas selat berkenaan yang secara efektif ditutup Tehran sejak enam bulan lalu.

"Memandangkan ia kini berada di bawah kawalan Amerika Syarikat, patutkah kita menukar nama Selat Hormuz kepada SELAT TRUMP??? Seperti Amerika sendiri, ia akan menjadi lebih 'hangat' berbanding sebelum ini!" kata Encik Trump menerusi rangkaian Truth Social miliknya.

Rumah Putih kemudian memuat naik peta Teluk di media sosial yang menunjukkan laluan perairan tersebut dilabel sebagai "Selat Trump".

"Nama itu kedengaran menarik," tambah Rumah Putih dalam catatan tersebut.

Gesaan presiden berusia 80 tahun itu untuk menamakan semula secara sepihak sebuah laluan perairan antarabangsa sempena namanya sendiri dibuat meskipun perang dengan Iran, yang sudah berlarutan selama enam bulan, masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir.

Sejak kembali memegang jawatan tahun lalu, Encik Trump mengemukakan beberapa cadangan serupa untuk menukar nama tempat. Pada mulanya, cadangan itu dilihat sebagai usaha untuk mempersendakan pihak lawannya, namun sebahagiannya kemudian benar-benar dilaksanakan.

Minggu lalu, pemimpin Republican berusia 80 tahun itu menandatangani perintah untuk menamakan semula Tasik Ontario sebagai "Tasik Amerika", di tengah-tengah perang perdagangan dengan negara jirannya, Kanada.

Encik Trump turut menamakan semula Teluk Mexico sebagai "Teluk Amerika" pada hari pertama beliau kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025. Mexico dan Kanada tidak menerima perubahan nama tersebut.

Encik Trump juga mengembalikan nama Denali, puncak tertinggi di Amerika Utara, kepada nama lamanya, Gunung McKinley.

PERTEMPURAN KEMBALI MEMUNCAK

Presiden yang juga seorang bilionair itu turut menamakan beberapa lokasi dan barangan sempena namanya sendiri, termasuk pusat kesenian Kennedy di Washington, sebuah institut keamanan, "Trump Gold Card" bagi imigresen dan laman penjualan ubat-ubatan "Trump Rx".

Sementara itu, Perbendaharaan Amerika pada Rabu mengeluarkan syiling AS$1 (S$1.27) yang memaparkan wajah Encik Trump bagi memperingati ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika. Langkah tersebut bercanggah dengan undang-undang persekutuan yang menetapkan bahawa presiden yang masih hidup tidak boleh dipaparkan pada mata wang Amerika.

Namun, cadangan untuk menamakan semula Selat Hormuz mungkin bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada perang Iran, yang menyebabkan harga minyak melonjak bagi para pengguna Amerika menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang penting pada November.

Pertempuran kembali memuncak selepas keadaan tenang selama beberapa minggu, dengan tentera Amerika melancarkan serangan baharu berhampiran Selat Hormuz pada Selasa sebagai tindak balas terhadap apa yang menurut Encik Trump merupakan usaha baharu Iran untuk memasang periuk api.

Menurut Iran, salah satu serangan Amerika Syarikat mengorbankan empat orang di sebuah majlis perkahwinan dan menyifatkannya sebagai "jenayah perang". Tehran kemudian melancarkan gelombang serangan balas terhadap pangkalan Amerika di Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Bahrain dan Iraq.

Iran secara berkesan menutup laluan perairan sempit tersebut, yang menjadi laluan bagi satu perlima daripada bekalan minyak dunia, sebagai tindak balas terhadap perang yang dimulakan Encik Trump bersama Israel pada penghujung Februari.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Encik Trump berulang kali mengancam untuk menuntut kedaulatan ke atas Selat Hormuz, malah memuat naik peta yang menunjukkan laluan perairan tersebut sebagai "wilayah baharu Amerika Syarikat.".
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita