Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump arah sokongan insurans kapal tangki minyak disediakan

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump arah sokongan insurans kapal tangki minyak disediakan
Sebuah kapal tentera laut dilihat belayar di Selat Hormuz, laluan air penting yang dilalui sebahagian besar minyak dan gas dunia melalui pada 1 Mac 2026. (Gambar: AFP/Sahar Al Attar)
Diterbitkan : 04 Mar 2026 11:03AM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 11:20AM
WASHINGTON: Tentera Laut Amerika Syarikat boleh mula mengiringi kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz jika perlu, kata Presiden Amerika Donald Trump pada Selasa (3 Mac), sambil menambah bahawa beliau sudah pun mengarahkan Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat supaya menyediakan insurans risiko politik dan jaminan kewangan bagi perdagangan maritim di wilayah Teluk.

Pengumuman itu menandakan salah satu langkah paling agresif oleh pentadbiran Trump setakat ini untuk membendung kenaikan harga tenaga dan menenangkan pasaran minyak di tengah-tengah konflik yang memuncak di Timur Tengah yang meningkatkan risiko kepada perkapalan melalui laluan air utama.

Harga minyak mentah global melonjak sejak tentera Israel dan Amerika mula menyerang Iran pada hujung minggu lalu dan mencetuskan pertempuran yang mengganggu penghantaran kapal tangki minyak Timur Tengah.

Para pemilik kapal dan penganalisis bagaimanapun kurang pasti jikalau iringan ketenteraan dan sokongan insurans oleh DFC cukup untuk menghentikan kenaikan harga.

DFC, yang dilancarkan pada 2019, adalah sebuah agensi pemerintah yang bekerjasama dengan pelabur swasta untuk menyokong projek di negara-negara membangun.

Encik Trump sudah pun menjadikan kos bahan api yang lebih rendah untuk rakyat Amerika sebagai teras mesej ekonominya dan langkah itu menandakan kesediaannya untuk menggunakan kewangan dan ketenteraan bagi menghalang gangguan kepada bekalan minyak mentah global.

"Tidak kira apa pun, Amerika Syarikat akan memastikan aliran tenaga yang bebas ke seluruh dunia," kata Encik Trump dalam catatan di media sosial.

Encik Trump berkata lebih banyak tindakan akan diambil.

Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent dan Setiausaha Tenaga Chris Wright dijangka bertemu dengan Encik Trump pada petang Selasa untuk membentangkan senarai cadangan bagi menangani isu tersebut dan memuktamadkan respons, dua sumber yang mengetahui rancangan itu memberitahu Reuters dengan syarat agar tidak dinamakan.

Encik Trump memberitahu wartawan pada awal Selasa bahawa rakyat Amerika mungkin perlu menerima harga minyak yang lebih tinggi untuk tempoh yang singkat, "tetapi sebaik sahaja ini berakhir, harga tersebut akan turun, saya percaya, lebih rendah berbanding sebelum ini".

Jika harga tenaga yang lebih tinggi berterusan, ia boleh menjejaskan usaha penggubal undang-undang dalam Parti Republican Trump untuk mengekalkan kuasa dalam pilihan raya pertengahan penggal kongres pada November.

Syarikat perkapalan dan syarikat insurans mula menilai semula pendedahan mereka kepada rantau tersebut.

Premium risiko perang kini melonjak dan sesetengah penyedia mengurangkan atau menarik balik perlindungan, menurut sumber industri.

Kos insurans yang lebih tinggi menjadikannya lebih mahal bagi kapal tangki yang sanggup mengambil risiko melayari kawasan tersebut, mendorong sesetengah pengendali menangguhkan pelayaran atau mencari laluan alternatif.

Sokongan Amerika untuk insurans kapal tangki bukanlah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Semasa konflik Iran-Iraq pada 1980-an, Washington menukar bendera kapal tangki dan menyediakan pengiring tentera laut apabila syarikat insurans swasta menarik balik perlindungan.

Selepas berlaku serangan pada 11 September 2001, Amerika mengeluarkan polisi insurans untuk memastikan perkapalan terus bergerak di tengah-tengah premium risiko perang yang meningkat.

"URUSAN DENGAN IRAN"

Sumber penghantaran melalui kapal yang enggan dikenal pasti berkata rancangan Encik Trump mungkin tidak berjaya meredakan pengusaha perkapalan selagi pertempuran berterusan kerana Amerika mempunyai bilangan kapal yang terhad untuk mengiringi kapal tangki.

Sehingga Isnin, Tentera Laut Amerika mempunyai 12 kapal perang, termasuk sebuah kapal pengangkut pesawat di Timur Tengah yang boleh digunakan oleh tentera untuk membantu mengiringi kapal komersial.

Namun, sebahagian kapal tersebut sedang digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Iran dan menembak jatuh pelurunya.

Ia juga boleh menjadi usaha berisiko bagi pengiring tentera laut, yang mungkin perlu berdepan dengan peluru berpandu Iran dan kapal-kapal kecil yang bersenjata.

Tentera Laut Amerika kadang-kadang mengiringi kapal di laluan air sensitif.

Terdapat juga beberapa pasukan petugas tentera laut pelbagai negara yang boleh digunakan untuk membantu, termasuk CTF-152, yang kini diperintah oleh pasukan Qatar.

Pentadbiran Encik Trump enggan menggunakan Rizab Petroleum Strategik negara, tetapi pegawai mungkin tidak lama lagi akan memberi isyarat bahawa mereka bersedia menggunakannya jika harga terus meningkat, menurut satu sumber.
Sumber : Reuters/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita