Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump arah Israel henti serangan ke atas loji tenaga Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump arah Israel henti serangan ke atas loji tenaga Iran

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berucap sebelum majlis makan malam negara yang dianjurkannya bersama Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi di Ruang Makan Negara di Rumah Putih pada 19 Mac 2026 di Washington, DC. (Gambar: AFP/Anna Moneymaker)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 20 Mar 2026 10:38AM Dikemas Kini : 20 Mar 2026 10:39AM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberitahu Israel supaya jangan mengulangi serangannya ke atas prasarana gas asli Iran.

Ini sedang serangan balas Iran ke atas loji tenaga di Qatar menyebabkan harga melonjak, sekali gus memburukkan dengan mendadak situasi perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran.

Konflik itu meragut nyawa beribu-ribu orang, merebak ke negara jiran dan menjejas ekonomi global sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan pada 28 Februari, selepas perbincangan tentang program nuklear Tehran gagal mencapai perjanjian.

Komen Encik Trump itu dibuat ketika harga tenaga melonjak pada Khamis (19 Mac) selepas Iran bertindak balas terhadap serangan Israel ke atas kemudahan gas utamanya dengan menyerang Bandar Perindustrian Ras Laffan di Qatar, yang memproses sekitar satu perlima gas asli cecair dunia, menyebabkan kerosakan yang akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibaiki.

Pelabuhan utama Arab Saudi di Laut Merah, di mana ia berupaya mengalihkan beberapa eksport untuk mengelakkan penutupan Iran di laluan keluar Teluk, Selat Hormuz, turut diserang.

Serangan itu mempamerkan keupayaan berterusan Iran untuk membawa kesan yang besar terhadap operasi tentera Amerika-Israel, dan batas pertahanan udara dalam melindungi aset tenaga Teluk yang paling berharga dan strategik.

Encik Trump, yang terdedah secara politik kepada kenaikan harga bahan api dalam kalangan pengundi terasnya menjelang pilihan raya pertengahan penggal November, mengecam sekutunya yang bertindak balas secara berhati-hati terhadap tuntutannya agar negara-negara itu membantu mengamankan Selat Hormuz, iaitu saluran untuk sekitar seperlima daripada minyak dunia.

Namun, beliau berkata beliau sudah memberitahu Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu supaya jangan mengulangi serangan ke atas infrastruktur tenaga.

Seorang pegawai Amerika dan tiga lagi orang lain yang mengetahui rancangan itu memberitahu Reuters bahawa Encik Trump sedang menimbangkan untuk menghantar beribu-ribu lagi tentera Amerika ke Timur Tengah.

Namun pada Khamis, Encik Trump berkata beliau tidak mempunyai rancangan untuk mengerahkan tentera darat.

Encik Netanyahu kemudian pada Khamis berkata bahawa Israel bertindak sendirian dalam pengeboman tapak gas South Pars di Iran dan mengesahkan bahawa Encik Trump meminta Israel untuk menangguhkan serangan sedemikian.

Iran sedang "dimusnahkan" dan tidak lagi mempunyai keupayaan untuk memperkayakan uranium atau membuat peluru berpandu balistik selepas 20 hari serangan udara Amerika-Israel, tetapi revolusi di negara itu tidak akan datang dari udara dan memerlukan "komponen darat," katanya, tanpa mengulas lanjut.

Semasa pemimpin Israel itu berucap, Iran melancarkan gelombang baharu peluru berpandu ke arah negaranya, menurut tentera Israel dan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Tentera Israel menyatakan pada lewat Khamis bahawa tentera udara sudah menjalankan lebih 130 serangan ke atas sasaran di bahagian barat dan tengah Iran sepanjang hari lalu, termasuk pelancar peluru berpandu balistik, dron dan sistem pertahanan udara.

Secara berasingan, pihak berkuasa di Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan ia telah membongkar "rangkaian pengganas" yang dibiayai dan dikendalikan oleh Hezbollah di Lubnan serta Iran.
 
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita