Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump ancam serangan hebat jika Iran gagal buka semula Selat Hormuz

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump ancam serangan hebat jika Iran gagal buka semula Selat Hormuz

Kapal-kapal berlabuh di Selat Hormuz, di luar bandar pelabuhan Khasab di Semenanjung Musandam, Oman, pada 17 Mei 2026. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 05 Aug 2026 01:52PM Dikemas Kini : 05 Aug 2026 02:22PM
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata satu perjanjian untuk membuka semula Selat Hormuz mungkin dicapai seawal Rabu (5 Ogos), namun memberi amaran bahawa Iran akan berdepan serangan hebat sekiranya rundingan gagal.

Laluan kapal melalui Selat Hormuz, yang penting bagi bekalan minyak dan gas dunia, menjadi antara isu utama rundingan dan mencetuskan semula pertempuran selepas gencatan senjata pada April.

Iran kini memperketat kawalan ke atas selat itu dan mahu mengenakan bayaran tol, yang tidak dilakukannya sebelum perang bermula pada 28 Februari.

Presiden Trump berkata pada Selasa (4 Ogos) bahawa perjanjian dengan Iran untuk membuka semula Selat Hormuz mungkin dicapai "esok atau lusa", sambil memberitahu wartawan di California bahawa para perunding melalui "hari yang sangat baik".

Namun sebelum itu, beliau memberi amaran lebih keras terhadap Tehran.

"Selat itu akan dibuka tidak lama lagi, atau mereka akan dibedil dengan sangat hebat - dan selepas itu selat tersebut akan dibuka," kata Encik Trump dalam wawancara bersama Fox News.

"Anda hanya boleh berjuang untuk mencari jalan keluar," tambahnya.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Scott Bessent pula memberitahu CNBC bahawa terdapat kemungkinan satu perjanjian dicapai menjelang Rabu atau Khamis.

Keadaan di Selat Hormuz kekal tidak menentu. Seorang anak kapal dilaporkan hilang pada Selasa selepas sebuah kapal dagang terkena peluru di laluan tersebut, manakala sebuah kapal India karam di Laut Merah menyusuli serangan yang belum diketahui pihak yang bertanggungjawab.

Minggu lalu, Presiden Trump turut mengancam untuk menyerang Iran dengan "sangat hebat", termasuk kemungkinan menyasarkan prasarana awam, sebelum menarik balik ancaman itu dan memberi bayangan bahawa satu perjanjian hampir dicapai.

Kementerian Luar Iran menafikan bahawa rundingan dengan Washington sedang berlangsung, meskipun Encik Trump menegaskan bahawa perbincangan sedang dijalankan.

Setiausaha Negara Amerika Marco Rubio berkata pada Selasa (4 Ogos) bahawa Amerika terlibat dalam rundingan antara Oman dengan Iran mengenai usaha meningkatkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz.

Portal berita Axios melaporkan pada Selasa bahawa Amerika, Iran dan Oman hampir mencapai perjanjian sementara untuk membuka semula selat tersebut, yang diharapkan Washington dapat diumumkan pada Rabu (5 Ogos).

Menurut Axios, perjanjian yang sedang dipertimbangkan itu akan menjamin laluan selamat di Selat Hormuz selama 60 hari.

PERJANJIAN ATAU MENYERAH KALAH

Qatar, yang menjadi pengantara dalam rundingan itu, menyatakan usaha diplomatik masih diteruskan tetapi tiada rundingan langsung antara Iran dengan Amerika dirancang.

Pemimpin Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani dan Encik Trump berbincang melalui telefon pada Selasa (4 Ogos) mengenai usaha meredakan ketegangan.

Matlamat diplomatik Washington termasuk membuka semula Selat Hormuz dan memastikan Iran menghentikan program nuklearnya, yang menurut Presiden Trump mungkin "mengambil sedikit masa".

Encik Trump sebelum ini menyifatkan Tehran sebagai "bermuka-muka" kerana mendakwa rundingan tidak berlangsung.

Beliau turut berkata kepungan balas Amerika terhadap pelabuhan Iran akan dikekalkan melainkan "satu perjanjian atau penyerahan kalah sepenuhnya" dicapai.

Lebih lima bulan sejak perang bermula, Iran masih mampu melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah sasaran Amerika dan sekutunya di rantau itu serta kapal-kapal dagang.

Pada awal Selasa (4 Ogos), Operasi Perdagangan Maritim Britain (UKMTO) menyatakan sebuah kapal kargo terkena "peluru yang tidak dikenal pasti" di Selat Hormuz, berhampiran perairan Oman.

Iran terus menyekat Selat Hormuz dan mewajibkan kapal menyelaraskan perjalanan dengan pihaknya.

SERANGAN DI LAUT MERAH

Gangguan di Selat Hormuz meningkatkan lagi kepentingan laluan perkapalan melalui Laut Merah, di mana kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman mengisytiharkan sekatan maritim terhadap Arab Saudi.

Pelabuhan Yanbu di Laut Merah membolehkan Arab Saudi meneruskan penghantaran ke pasaran global dengan mengelakkan Selat Hormuz sepenuhnya.

Namun sejak kumpulan Houthi mengumumkan sekatan itu, mereka mendakwa melancarkan serangan terhadap beberapa kapal yang dikatakan melanggar sekatan tersebut.

Pada Selasa (4 Ogos), kapal India MSV Faize Noore Oliya karam di Laut Merah dekat Yaman menyusuli serangan yang belum diketahui pihak yang bertanggungjawab. Semua anak kapalnya berjaya diselamatkan.

Laut Merah merupakan laluan masuk ke Terusan Suez. Operasi serangan Houthi terhadap kapal-kapal dagang ketika perang Gaza sebelum ini memaksa syarikat perkapalan menggunakan laluan lebih jauh mengelilingi bahagian selatan Afrika.
Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita