Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump ancam Iran sama ada capai perjanjian atau Amerika akan 'selesaikan tugasnya'
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Isnin (6 Jul) bahawa Amerika Syarikat sama ada akan mencapai persetujuan dengan Iran atau "menyelesaikan tugas itu," sekali gus memperbaharui ancamannya untuk bertindak secara ketenteraan jika Tehran menunjukkan keingkarannya menyusuli upacara pengebumian Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menolak kemungkinan perang berskala penuh tercetus semula dengan Iran. (Gambar fail: AP)
Rundingan tidak langsung Amerika Syarikat-Iran berakhir minggu lalu tanpa sebarang tanda kemajuan ke arah keamanan yang berkekalan, meskipun gencatan senjata selama 60 hari bertujuan untuk mewujudkan ruang untuk usaha diplomasi menyusuli serangan Amerika Syarikat dan Israel yang mencetuskan konflik tersebut.
"Kita sama ada akan membuat perjanjian atau kita akan menyelesaikan tugas itu. OK. Dan ia tidak akan sukar untuk menyelesaikan tugas itu. Saya lebih suka membuat perjanjian, kerana saya tidak mahu menjejaskan 91 juta orang," kata Encik Trump kepada para wartawan di Rumah Putih.
"Kita boleh merobohkan jambatan mereka dalam masa satu jam, kita boleh menghentikan bekalan tenaga mereka ... Mereka tidak mempunyai wang sekarang. Kita belum memberi mereka wang."
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohammad Baqer Zolqadr, menyifatkan ancaman Encik Trump sebagai satu "khayalan".
"Rakyat Iran tidak biasa dengan bahasa bersifat ancaman. Jadi, bercakaplah dengan rakyat Iran secara hormat, jika tidak, kami akan membalas dalam bahasa lain," kata Encik Zolqadr dalam komen yang disiarkan oleh media pemerintah negara itu.
Encik Trump berkata demikian selepas upacara pengebumian almarhum Khamenei pada hujung minggu lalu di mana, daripada kelihatan lemah akibat perang yang bermula dengan serangan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari, rakyat Iran kelihatan menentangnya, bersatu dan bertekad untuk menghadapi apa jua yang bakal dilakukan.
Gencatan senjata selama 60 hari itu bertujuan untuk menghidupkan semula diplomasi bagi menghentikan Iran daripada membangunkan senjata nuklear.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.