Perang Amerika, Israel dan Iran: Trump ancam bom Oman jika halang perjanjian dengan Iran, menurut laporan
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Isnin (17 Ogos) mengancam untuk mengebom Oman jika negara itu “menghalang” usaha Amerika Syarikat untuk mencapai persetujuan dengan Iran berhubung Selat Hormuz, selain menggesa Iran agar menyerah kalah.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berucap di Pusat Latihan dan Perisikan David S Mack di Garden City, New York, Amerika Syarikat, pada 14 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Ken Cedeno)
“Jika Oman menghalang, kami akan mengebom mereka habis-habisan,” kata Encik Trump kepada wartawan Fox News Trey Yingst, merujuk kepada rundingan yang sedang berlangsung antara Oman dengan Iran berhubung kawalan ke atas selat tersebut, sedang Washington turut mengadakan rundingannya sendiri.
Para pegawai Iran dan Oman sudah mengadakan rundingan selama beberapa minggu berhubung aturan pelayaran maritim pada masa depan bagi kapal-kapal yang melalui selat tersebut. Kementerian Luar di Tehran manyatakan pada awal Isnin bahawa kedua-dua pihak sedang mengusahakan satu pengisytiharan bersama.
Namun, Encik Trump berkali-kali menegaskan bahawa Selat Hormuz – yang ditutup Tehran selepas perang di Timur Tengah bermula pada 28 Februari – berada di bawah kawalan Amerika Syarikat, meskipun pergerakan kapal masih perlahan.
Pada Jumaat, Encik Trump malah menyatakan beliau akan mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada wilayah Amerika Syarikat. Iran membidas kenyataan itu sambil menekankan bahawa laluan penting yang disekatnya itu “akan kekal menjadi milik Iran”.
Sebelum perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran dilancarkan, Selat Hormuz dianggap sebagai laluan perairan antarabangsa yang terbuka. Sebahagian besar penghantaran tenaga global serta komoditi lain melalui selat tersebut.
Tehran menggunakan penguasaannya ke atas selat tersebut sebagai alat tawar-menawar dalam mengatasi usaha Amerika Syarikat untuk memusnahkan keupayaan tenteranya, selain memaksanya untuk menghentikan program tenaga nuklearnya yang mencetuskan kontroversi.
Pantai Iran terletak di sepanjang bahagian utara Selat Hormuz, manakala Oman terletak di bahagian selatan.
Encik Trump turut berkata Iran harus “mengibarkan bendera putih tanda menyerah kalah”, menurut catatan Encik Yingst di X berhubung temu bualnya dengan Presiden Amerika Syarikat itu.
Encik Trump menegaskan beliau tidak tergesa-gesa untuk mencapai persetujuan meskipun perang itu amat tidak popular dalam kalangan rakyat Amerika menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat pada November.
Parti Democrat pula sedang berusaha untuk merampas kawalan Kongres daripada Parti Republican pimpinan Encik Trump.
Encik Trump memberitahu Encik Yingst bahawa terdapat saluran komunikasi langsung tidak rasmi antara pentadbirannya dengan para pegawai Pengawal Revolusi Iran.
“Mereka bijak bermain strategi, tetapi mereka kini semakin terdesak."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.