Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Trafik kapal tangki di Selat Hormuz perlahan selepas Amerika-Iran berbalas serangan

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Trafik kapal tangki di Selat Hormuz perlahan selepas Amerika-Iran berbalas serangan

Kapal-kapal di Selat Hormuz, seperti yang dilihat dari Musandam, Oman, pada 8 Julai 2026. (Gambar: Reuters/Stringer)

Diterbitkan : 10 Jul 2026 10:44PM
  • Amerika Syarikat dan Iran terlibat dalam serangan balas di Selat Hormuz minggu ini, menyebabkan trafik kapal tangki perlahan dan menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan minyak global.
  • Agensi Tenaga Antarabangsa melaporkan bekalan minyak dunia meningkat pada Jun, namun masih jauh lebih rendah berbanding sebelum perang, dengan laluan Selat Hormuz kekal kritikal.
  • Serangan ke atas kapal dari Qatar dan Arab Saudi serta tindakan balas Amerika Syarikat menamatkan gencatan senjata sementara, walaupun rundingan damai masih diteruskan.
  • Qatar kini menjadi perantara dalam usaha meredakan ketegangan, sementara Iran menegaskan kawalan ke atas selat dan memberi amaran terhadap campur tangan Amerika Syarikat.
Dijana oleh AI
DUBAI: Trafik harian kapal tangki di Selat Hormuz dilihat mula perlahan pada Jumaat (10 Jul) selepas Amerika Syarikat dan Iran saling melancarkan serangan minggu ini serta kembali bertelagah mengenai pihak yang menguasai laluan perairan strategik itu.

Serangan-serangan tersebut sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap pemulihan bekalan minyak dan aktiviti perkapalan global, selain menyerlahkan betapa rapuhnya gencatan senjata sementara ketika Amerika Syarikat dan Iran masih berunding untuk mencapai perjanjian damai yang berkekalan.

Harga minyak susut pada Jumaat (10 Jul), namun masih menepati sasaran untuk mencatat kenaikan mingguan antara empat hingga lima peratus menyusuli ketegangan terbaharu itu.

BEKALAN MINYAK DUNIA MENINGKAT, NAMUN MASIH BAWAH PARAS SEBELUM PERANG

Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyatakan bekalan minyak dunia meningkat sebanyak 4.1 juta tong sehari pada Jun apabila kapal-kapal kembali melalui Selat Hormuz, namun jumlah itu masih 9.4 juta tong sehari lebih rendah berbanding sebelum perang.

IEA turut memberi amaran mengenai bekalan diesel dan petrol yang ketat, sambil menyatakan kilang penapisan minyak mengambil masa lebih lama untuk memberi respons terhadap pembukaan semula selat itu berbanding perubahan harga minyak mentah.

Sebelum perang, kira-kira seperlima bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz. Sejak itu, Tehran dilaporkan menguasai sebahagian besar laluan perairan berkenaan, sekali gus mewujudkan kebuntuan dalam konfrontasinya dengan kuasa tentera paling hebat di dunia.

Di bawah perjanjian sementara, Amerika Syarikat menamatkan kepungan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran, manakala Iran bersetuju memastikan laluan selamat bagi kapal-kapal komersial.

Bagaimanapun, minggu ini, Washington menuduh tentera Iran menyerang tiga kapal tangki minyak di kawasan itu sebelum melancarkan serangan ke atas lokasi tentera di pesisir selatan dan wilayah timur Iran sebagai tindak balas.

Walaupun Iran tidak mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut, para penganalisis berkata Tehran menggunakan tindakan sedemikian untuk mengukuhkan kedudukannya dalam rundingan.

Iran kemudian menyerang lokasi tentera Amerika Syarikat di beberapa negara Teluk pada Khamis (9 Jul).

Amerika Syarikat menyatakan tindakannya bertujuan untuk memastikan Selat Hormuz kekal dibuka kepada pelayaran dan menegaskan Iran tidak menguasai laluan perairan itu.

Tehran bagaimanapun memberi amaran bahawa selat tersebut hanya akan dibuka semula mengikut syarat-syarat yang ditetapkannya, dan sebarang campur tangan Amerika Syarikat akan menerima "tindak balas yang membinasakan".

Serangan terhadap tiga kapal dari Qatar dan Arab Saudi itu mendorong Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengisytiharkan gencatan senjata sudah "berakhir".

Namun, seorang pegawai Amerika Syarikat kemudian berkata Washington masih komited untuk mencari huraian dengan Iran dan "rundingan teknikal masih diteruskan".

Akhbar The New York Times melaporkan Qatar sedang mengadakan rundingan dengan Washington dan Tehran bagi meredakan krisis.

Sebelum serangan minggu ini, trafik harian kapal tangki minyak meningkat ke paras tertinggi sejak perang bermula, dengan purata 40 kapal melalui Selat Hormuz setiap hari.

Bagaimanapun, angka itu masih jauh lebih rendah berbanding purata 125 hingga 140 pelayaran sehari sebelum perang meletus.
 
Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita