Perang Amerika, Israel dan Iran: Thailand naikkan harga diesel selepas subsidi dipotong; kenaikan ketiga dalam masa beberapa hari
Harga diesel di Thailand bakal meningkat sebanyak 3.50 baht seliter bermula Khamis (2 April) selepas Jawatankuasa Pengurusan Dana Bahan Api Minyak meluluskan pengurangan kadar subsidi diesel pada Rabu (1 Apr).
Harga diesel di Thailand bakal meningkat sebanyak 3.50 baht seliter bermula 2 April 2026. (Gambar hiasan: REUTERS)
Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu menyatakan, keputusan itu didorong oleh ketidaktentuan berterusan pada harga minyak global yang kekal tinggi dengan trend yang semakin meningkat.
“Dalam mesyuaratnya hari ini (1 April), jawatankuasa memutuskan untuk mengurangkan subsidi diesel di bawah Dana Bahan Api Minyak sebanyak 4.11 baht seliter, daripada 21.89 baht kepada 17.78 baht seliter, selaras dengan keadaan pasaran dan bagi mengekalkan kecairan dana,” katanya pada Rabu (1 Apr).
Menyusuli keputusan itu, harga runcit domestik bagi disel akan meningkat kepada 44.24 baht seliter, berkuat kuasa 2 April.
Jawatankuasa itu berkata, pemotongan subsidi itu dijangka mengurangkan perbelanjaan dana berkenaan kira-kira 362.76 juta baht sehari, daripada sekitar 1.80 bilion baht kepada kira-kira 1.47 bilion baht sehari.
“Langkah membenarkan harga runcit mencerminkan kos sebenar dengan lebih baik adalah perlu bagi memastikan kemampanan jangka panjang Dana Bahan Api Minyak,” katanya lagi.
Ini merupakan kenaikan harga diesel kali ketiga dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, menyusuli kenaikan sebanyak 6.00 baht pada 26 Mac dan 1.80 baht pada 31 Mac.
Tinjauan di stesen minyak Bangchak Corporation pada Rabu (1 Apr) menunjukkan Gasohol 95 dijual pada harga 42.05 baht seliter, Gasohol 91 pada 41.68 baht, manakala Diesel B7 pada 40.74 baht.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.