Perang Amerika, Israel dan Iran: Tentera Israel selesai kerah tentera darat di selatan Lubnan
Sebuah pesawat komersial sedang bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Beirut sedang asap kelihatan berkepul-kepul akibat serangan udara Israel di Dahiyeh, pinggir bandar selatan Beirut, Lubnan pada 5 April 2026. (Gambar: AP/Emilio Morenatti)
Tentera itu tidak memberikan sebarang butiran geografi mengenai titik paling jauh yang dicapai oleh askarnya ke dalam wilayah Lubnan.
Media Israel melaporkan bahawa tentera itu tidak berhasrat pada setakat ini untuk mengerahkan tentera lebih dalam daripada kira-kira 20 kilometer (km) ke utara sempadan Israel-Lubnan.
"Pada peringkat ini, askar IDF telah menyelesaikan pengerahannya di sepanjang garisan pertahanan peluru berpandu anti-kereta kebal dan terus beroperasi di kawasan itu bagi mengukuhkan kedudukan pertahanan hadapan dan menghapuskan ancaman kepada penduduk dan masyarakat di utara Israel," menurut satu kenyataan tentera.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata beberapa kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini bahawa Israel berhasrat untuk menubuhkan "zon keselamatan" di selatan Lubnan hingga ke sungai Litani, yang mengalir sejauh 30km dari sempadan Israel-Lubnan, bagi menghalang tembakan roket, dron atau peluru berpandu ke arah masyarakat Israel di utara.
Akhbar Israel Haaretz, memetik sumber tentera, melaporkan bahawa tentera itu "bersedia untuk mengukuhkan pasukannya di selatan Lubnan, tetapi pada masa ini tiada rancangan untuk terus mara ke dalam negara itu".
"Sumber-sumber itu berkata pasukan itu telah mencapai apa yang ditakrifkan sebagai 'garisan hadapan' yang digariskan dalam pelan operasi yang diluluskan," lapor Haaretz, sambil menambah bahawa "garisan ini merangkumi kampung-kampung selatan yang terletak kira-kira 10km dari Sungai Litani, kawasan di bawah kawalan tentera Israel".
Haaretz melaporkan bahawa pengerahan sedia ada itu bertujuan untuk menghalang tembakan peluru berpandu anti-kereta kebal ke atas masyarakat Israel di utara.
Peluru berpandu anti-kereta kebal itu mempunyai jarak yang dianggarkan sekitar 10km.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.