Perang Amerika, Israel dan Iran: Tehran terima maklum balas rasmi Washington terhadap usul tamatkan perang
Iran sudah menerima maklum balas rasmi Amerika Syarikat terhadap usulannya untuk menamatkan perang di Timur Tengah, menurut media pemerintah Iran pada Rabu (30 Sep).
Kapal-kapal di Selat Hormuz berhampiran pantai Bandar Abbas, Iran, pada 28 September 2026. (Gambar fail: West Asia News Agency menerusi Reuters/ISNA/Amirhosein Khorgooi)
Jurucakap pemerintah Iran Fatemeh Mohajerani berkata Menteri Luar Abbas Araghchi membentangkan maklum balas pihak Amerika kepada Presiden Masoud Pezeshkian semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu (30 Sep).
Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kandungan maklum balas tersebut.
Perkembangan itu berlaku beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump secara terbuka menolak usulan Tehran.
Selepas konflik selama tujuh bulan, rundingan tidak langsung antara Amerika dengan Iran disambung semula minggu lalu di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Iran sebelum ini mengemukakan tujuh syarat bagi menamatkan perang dan membuka semula Selat Hormuz, iaitu laluan strategik bagi eksport minyak dan gas.
Selat Hormuz menjadi tumpuan utama perang yang bermula dengan serangan Amerika-Israel ke atas Iran pada Februari.
Tehran kemudian menyekat perkapalan melalui selat itu, manakala Washington bertindak balas dengan mengenakan kepungan ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran.
TUJUH SYARAT UNTUK TAMATKAN PERANG
Tidak semua tujuh syarat Iran didedahkan kepada umum.
Antara tuntutan Tehran ialah gencatan senjata di seluruh Timur Tengah, termasuk di Lubnan, di mana sekutunya Hezbollah bertempur dengan tentera Israel.
Iran turut menuntut agar asetnya di luar negara yang dibekukan dilepaskan, sekatan terhadap sektor minyaknya ditarik balik dan kepungan tentera laut Amerika ditamatkan.
Encik Trump menolak usulan tersebut pada Sabtu (26 Sep).
Namun, Tehran masih menantikan maklum balas rasmi Washington yang disampaikan menerusi pengantara Qatar.
Pertempuran sudah reda sejak beberapa minggu kebelakangan ini, meskipun Tehran terus menyasarkan kapal-kapal di Selat Hormuz.
IRGC TERUS SEKAT KAPAL DI SELAT HORMUZ
Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menyatakan pada Rabu (30 Sep) bahawa ia terus menyerang kapal-kapal kecil yang cuba melalui Selat Hormuz.
Jurucakap IRGC Hossein Mohebi berkata pasukannya sudah sekian lama menyasarkan kapal-kapal kecil yang cuba melalui selat tersebut dan menyekat laluan mereka.
Menurutnya, Amerika tidak melancarkan tindak balas sejak kebelakangan ini.
IRGC sebelum ini mengisytiharkan Selat Hormuz ditutup dan menyatakan ia akan terus mengambil tindakan terhadap pergerakan yang dianggap berbahaya serta laluan tanpa kebenaran.
Amerika pula meningkatkan tekanan ekonominya terhadap Iran dengan mengenakan sekatan terhadap syarikat penerbangan Iran.
Washington turut berikrar mengambil tindakan tegas terhadap syarikat asing yang memberikan bantuan kepada syarikat penerbangan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.