Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Tehran teliti cadangan baharu Amerika tamatkan perang

Iran menyatakan pada Rabu (6 Mei) bahawa ia sedang meneliti satu cadangan baharu daripada Amerika Syarikat, selepas beberapa sumber memaklumkan bahawa Washington dan Tehran semakin hampir memeterai satu memorandum sebanyak satu halaman bagi menamatkan perang di Teluk, selain menangguhkan isu-isu rumit seperti program nuklear Iran untuk dibincangkan kemudian hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Tehran teliti cadangan baharu Amerika tamatkan perang

Gambar edaran Tentera Laut Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada 6 Mei 2026 oleh Markas Pusat Amerika Syarikat menunjukkan pesawat F/A-18E Super Hornet mendarat di atas kapal induk kelas Nimitz USS George H.W. Bush (CVN 77) di laut pada 27 April 2026. (Gambar: AFP/US NAVY)

ISLAMABAD: Iran menyatakan pada Rabu (6 Mei) bahawa ia sedang meneliti satu cadangan baharu daripada Amerika Syarikat, selepas beberapa sumber memaklumkan bahawa Washington dan Tehran semakin hampir memeterai satu memorandum sebanyak satu halaman bagi menamatkan perang di Teluk, selain menangguhkan isu-isu rumit seperti program nuklear Iran untuk dibincangkan kemudian hari.

Seorang jurucakap Kementerian Luar Iran, yang dipetik oleh agensi berita ISNA, berkata Iran akan menyampaikan responsnya tidak lama lagi melalui Pakistan, yang menjadi tuan rumah kepada satu-satunya rundingan damai dalam perang tersebut dan sejak itu bertindak sebagai saluran utama bagi komunikasi antara kedua-dua pihak.

Dalam catatan media sosialnya pada awal pagi, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump tidak memberikan butiran khusus berhubung sebarang cadangan, namun berkata perang itu boleh berakhir jika “Iran bersetuju untuk memberikan apa yang telah dipersetujui”. Beliau kemudian memberitahu New York Post bahawa ia masih terlalu awal untuk mempertimbangkan pertemuan bersemuka untuk menandatangani sebuah perjanjian.

Sumber dari Pakistan dan satu lagi sumber yang dimaklumkan berhubung usaha perantaraan itu mengesahkan maklumat yang pertama kalinya dilaporkan oleh media Amerika, Axios, berhubung memorandum 14 perkara satu halaman yang dicadangkan, yang akan secara rasmi menamatkan perang.

Memorandum itu akan diikuti dengan perbincangan untuk membuka semula laluan perkapalan melalui Selat Hormuz, menarik balik kepungan Amerika Syarikat terhadap Iran dan mencapai persetujuan berhubung sekatan terhadap program nuklear Iran, kata sumber berkenaan.

“Kami akan menutup perkara ini tidak lama lagi. Kami semakin hampir,” kata sumber dari Pakistan itu.

HARGA MINYAK MENJUNAM

Laporan berhubung perjanjian yang mungkin dicapai itu menyebabkan harga minyak global merosot, dengan penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent susut sekitar 11 peratus kepada kira-kira AS$98 (S$124.64) setong.

Harga saham global turut meningkat manakala hasil bon menurun menyusuli optimisme terhadap penamatan perang yang mengganggu bekalan tenaga.

Dalam catatannya yang dibuat pada waktu pagi, Encik Trump berkata: “Seandainya Iran bersetuju untuk memberikan apa yang telah dipersetujui, yang mungkin adalah satu andaian besar, ‘Epic Fury’ akan berakhir, dan kepungan yang sangat berkesan akan membolehkan Selat Hormuz dibuka kepada semua, termasuk Iran.”

“Jika ia tidak bersetuju, pengeboman akan bermula, dan ia akan, malangnya, pada tahap dan intensiti yang jauh lebih buruk berbanding sebelum ini,” tambah Encik Trump.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita