Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Tehran setuju cairkan uranium di bawah perjanjian sementara, kata Amerika

Iran bersetuju untuk mencairkan stok uranium yang diperkayanya di bawah perjanjian sementara dengan Amerika Syarikat, kata pegawai kanan pentadbiran Amerika Syarikat pada Rabu (17 Jun) sedang mereka mendedahkan apa yang didakwa sebagai teks perjanjian tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Tehran setuju cairkan uranium di bawah perjanjian sementara, kata Amerika

Seorang wanita mengibarkan bendera Iran semasa kempen pro-pemerintah sedang portret pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei dipaparkan di Tehran, Iran padad 15 Jun 2026. (Gambar: AP/Vahid Salemi)

Diterbitkan : 18 Jun 2026 07:26AM
WASHINGTON: Iran bersetuju untuk mencairkan stok uranium yang diperkayanya di bawah perjanjian sementara dengan Amerika Syarikat, kata pegawai kanan pentadbiran Amerika Syarikat pada Rabu (17 Jun) sedang mereka mendedahkan apa yang didakwa sebagai teks perjanjian tersebut.

“Hakikat bahawa mereka bersetuju dengan perkara itu merupakan kemenangan besar, sangat besar bagi Amerika Syarikat,” kata seorang pegawai Amerika Syarikat mengenai isu nuklear itu dalam sidang panggilan bersama wartawan.

Perjanjian itu juga akan membuka semula Selat Hormuz dan membenarkan penjualan minyak Iran, manakala Amerika Syarikat serta sekutunya akan merangka pelan bagi dana pembinaan semula Iran bernilai AS$300 bilion (S$386.4 bilion).

Pegawai Amerika Syarikat membacakan kandungan perjanjian itu dalam sidang panggilan selepas beberapa hari timbul ketidakpastian mengenai butiran sebenar yang terkandung dalam perjanjian yang diumumkan Presiden Donald Trump pada Ahad lalu.

Perjanjian rangka tersebut akan diikuti dengan rundingan selama 60 hari untuk memuktamadkan perjanjian akhir. Encik Trump berkata Washington boleh kembali kepada tindakan “pengeboman” jika Iran enggan bersetuju dengan perjanjian akhir itu.

Menurut pegawai Amerika Syarikat, program nuklear Iran turut disentuh dalam perjanjian berkenaan, dengan beberapa klausa tambahan berbanding draf yang sebelum ini bocor kepada media Amerika Syarikat dan antarabangsa.

Di bawah teks yang dibacakan, kedua-dua negara bersetuju untuk membincangkan mekanisme menangani stok uranium diperkaya Iran, yang menjadi teras dakwaan Amerika Syarikat bahawa Tehran mahu membangunkan senjata nuklear.

Teks itu menyatakan bahawa “kaedah minimum” yang dipersetujui ialah “proses pencairan uranium diperkaya di lokasi berkenaan di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

Proses pencairan itu melibatkan pencampuran uranium diperkaya yang boleh ditapis untuk menghasilkan bom atom dengan uranium uranium yang mempunyai tahap pengayaan lebih rendah bagi mengurangkan tahap radioaktifnya.

“Mereka pada asasnya berkata, kami akan memusnahkan stok uranium diperkaya itu, dan inilah sekurang-kurangnya cara yang akan digunakan,” kata pegawai kanan Amerika Syarikat tersebut, yang menjelaskan itu adalah ulasannya sendiri terhadap kandungan perjanjian.

DANA PEMBINAAN SEMULA AS$300 BILION

Pegawai Amerika Syarikat turut mengakui bahawa cadangan dana pembinaan semula Iran bernilai AS$300 bilion menyusuli perang yang dilancarkan Israel dan Amerika Syarikat pada 29 Februari merupakan bahagian “kedua paling kontroversi” selepas isu nuklear.

Teks perjanjian menyatakan bahawa Washington “berjanji bersama rakan serantau untuk membangunkan pelan muktamad yang dipersetujui bersama dengan nilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion bagi pembinaan semula dan pembangunan ekonomi Republik Islam Iran”.

Mekanisme bagi dana tersebut juga akan dibincangkan dalam rundingan 60 hari akan datang.

Bagaimanapun, pegawai berkenaan menegaskan bahawa Washington tidak semestinya perlu menanggung kos tersebut, sedang Encik Trump berdepan tuduhan bersikap hipokrit selepas sebelum ini mengkritik pembayaran kepada Iran di bawah perjanjian nuklear 2015 yang dimeterai ketika pentadbiran Presiden Barack Obama.

“Perlu diingat bahawa perjanjian ini tidak mewajibkan kami melakukan apa-apa... atau membayar walau satu sen kepada Iran, mahupun menyumbang dana kepada tabung pembinaan semula itu,” kata pegawai kanan pertama tersebut.

“Apa yang dinyatakan ialah jika kami mencapai perjanjian akhir dan Iran mematuhi syarat-syaratnya, kami akan membenarkan pelonggaran sekatan yang membolehkan, sebagai contoh, Amiriah Arab Bersatu membina sebuah loji janakuasa di Iran.”
Sumber : Reuters/IM/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita