Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Tehran lancar serangan balas terhadap pangkalan tentera Amerika

Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada Selasa malam (1 Sep) menyatakan, pihaknya mula melancarkan serangan terhadap pangkalan tentera dan aset Amerika Syarikat di rantau tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas wilayah selatan Iran pada awal hari berkenaan yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan lebih 50 yang lain, lapor Xinhua.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Tehran lancar serangan balas terhadap pangkalan tentera Amerika

Satu objek yang dipercayai peluru berpandu kelihatan melintasi langit di ruang udara Jordan, seperti yang dilihat dari Eilat, Israel, pada 1 September 2026, dalam petikan skrin yang diperoleh daripada sebuah rakaman video. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 11:05AM
TEHRAN/AMMAN: Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada Selasa malam (1 Sep) menyatakan, pihaknya mula melancarkan serangan terhadap pangkalan tentera dan aset Amerika Syarikat di rantau tersebut sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas wilayah selatan Iran pada awal hari berkenaan yang mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan mencederakan lebih 50 yang lain, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi saluran berita rasminya Sepah News, IRGC menyatakan tindak balas sudah bermula, sambil memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya menembak jatuh dron MQ-9 Reaper Amerika Syarikat yang dianggap sebagai ancaman.

Pasukan aeroangkasa IRGC turut melancarkan serangan peluru berpandu balistik dan dron ke atas Kem Titin di Jordan dan Pangkalan Udara Shaikh Isa di Bahrain, yang dilaporkan mengorbankan “sejumlah besar” anggota tentera Amerika Syarikat serta memusnahkan beberapa kemudahan utama dan helikopter tempur.

IRGC menegaskan, serangan Amerika Syarikat hanya akan memanjangkan penutupan Selat Hormuz dan meningkatkan tekad angkatan tentera Iran untuk “mengekang pasukan asing yang campur tangan di laluan perairan itu”.

Menurut IRGC, serangan tersebut bermula selepas Amerika Syarikat mengebom beberapa lokasi awam di pesisir selatan Iran dan sebagai tindak balas terhadap serangan maut Amerika Syarikat ke atas sebuah majlis perkahwinan di wilayah Hormozgan.

Angkatan Tentera Jordan-Tentera Arab Jordan (JAF) kemudian menyatakan sistem pertahanan udara negara itu pada petang Selasa memintas dan memusnahkan 10 daripada 13 peluru berpandu balistik yang memasuki ruang udara Jordan dari Iran dalam masa beberapa jam sebelumnya.

Tiga lagi peluru berpandu gugur di kawasan terpencil jauh dari pusat petempatan penduduk. Tiada kematian atau kecederaan dilaporkan, menurut kenyataan JAF.

Agensi berita Fars memetik Timbalan Gabenor Hormozgan bagi Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Ahmad Nafisi sebagai berkata sekurang-kurangnya lima orang termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan seorang wanita terbunuh, manakala lebih 50 yang lain cedera dalam serangan Amerika Syarikat yang menyasarkan sebuah majlis perkahwinan di daerah Sirik.

Letupan kedengaran di beberapa wilayah selatan Iran pada petang Selasa sedang Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), menerusi catatan di platform media sosial X, mengumumkan permulaan serangan terhadap IRGC.

Media Iran melaporkan letupan kedengaran di daerah Sirik, Bandar Abbas, Qeshm dan Jask di Hormozgan, Konarak dan Chabahar di wilayah Sistan dan Baluchestan, Jiroft di wilayah Kerman serta Asaluyeh di wilayah Bushehr.

Markas Pusat Khatam al-Anbiya, yang merupakan markas utama tentera Iran, menyatakan dalam satu kenyataan bahawa sebagai tindak balas terhadap “pencerobohan udara” Amerika Syarikat, angkatan tentera Iran akan melancarkan serangan “yang menghancurkan dan memusnahkan” terhadap Amerika Syarikat.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita