Perang Amerika, Israel dan Iran: Tehran kecam draf resolusi Amerika di PBB mengenai Selat Hormuz
Seorang pegawai kanan Iran mengecam usaha Amerika Syarikat mengemukakan draf resolusi di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan situasi di Selat Hormuz, dengan menyifatkannya sebagai berat sebelah dan bermotif politik.
Kapal di Selat Hormuz. (Gambar: Reuters)
Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Undang-undang dan Antarabangsa, Kazem Gharibabadi, dalam kenyataannya di platform X berkata langkah tersebut adalah “cubaan baharu untuk mengubah kerangka isu” dengan memindahkan fokus daripada punca sebenar konflik.
Menurut beliau, tindakan itu seolah-olah mengubah kesan daripada “pencerobohan ketenteraan dan sekatan haram” menjadi satu kes terhadap negara yang sebenarnya menjadi sasaran ancaman dan serangan.
Encik Gharibabadi turut mengkritik penggunaan alasan “kebebasan hak pelayaran” di Selat Hormuz tanpa mengambil kira peranan Amerika dan Israel dalam mencetuskan ketegangan tersebut.
Beliau menegaskan sebarang resolusi yang tidak merujuk kepada isu pencerobohan, sekatan serta hak Iran untuk mempertahankan diri adalah “cacat, berat sebelah dan ditakdirkan gagal sejak awal”.
Perkembangan itu menyusuli laporan bahawa Amerika Syarikat mengadakan rundingan dengan negara Teluk minggu lalu berhubung cadangan resolusi tersebut, yang menuntut Iran menghentikan serangan di Selat Hormuz.
Jika diluluskan, resolusi berkenaan boleh membawa kepada pengenaan sekatan terhadap Iran, malah berpotensi membenarkan penggunaan kekerasan sekiranya Tehran gagal mematuhi tuntutan itu.
Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan strategik dunia, dengan sebahagian besar bekalan minyak global melalui perairan tersebut, menjadikan sebarang ketegangan di kawasan itu memberi kesan kepada ekonomi dan keselamatan antarabangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.