Perang Amerika, Israel dan Iran: Syria jangka rundingan keselamatan dengan Israel disambung semula tidak lama lagi
Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani, yang berkata Damsyik menjangkakan rundingan keselamatan dengan Israel akan disambung semula tidak lama lagi. (Gambar: REUTERS)
- Syria, melalui Menteri Luar Asaad al-Shaibani, menjangkakan rundingan keselamatan dengan Israel akan disambung semula selepas dibekukan akibat konflik dan serangan terkini.
- Damsyik menegaskan keutamaan ialah menghentikan serangan Israel dan menuntut pengunduran Israel dari wilayah Syria, dengan Amerika Syarikat terus memediasi proses rundingan.
- Kedua-dua pihak hampir bersetuju di atas kertas mengenai perjanjian yang melibatkan zon keselamatan dan penempatan pasukan pengaman PBB, namun Israel didakwa enggan melaksanakannya.
- Syria menolak dakwaan Israel tentang kehadiran tentera Turki di pangkalan Abu al-Duhur, dan mengekalkan kerjasama ketenteraan dengan Turki serta negara jiran lain demi kestabilan serantau.
Damsyik berharap perjanjian itu akhirnya akan membawa kepada pengunduran Israel dari wilayah Syria.
Dalam wawancara bersama Reuters di Damsyik pada Sabtu (22 Ogos), beberapa hari selepas Israel mengebom sebuah pangkalan udara Syria, Encik Shaibani menggesa Israel supaya merebut "peluang bersejarah" sedang pintu diplomasi masih terbuka.
Namun beliau menegaskan bahawa keutamaan Damsyik adalah untuk menghentikan serangan Israel dan langkah-langkah membina keyakinan perlu diambil ke arah itu.
Amerika Syarikat sudah lebih setahun berusaha untuk membantu mencapai perjanjian keselamatan antara Israel dengan pemerintah Presiden Syria Ahmed al-Sharaa.
Namun usaha itu belum membuahkan hasil sedang Israel menghantar tenteranya ke wilayah Syria dan menyerang aset pemerintah atas alasan ancaman terhadap keselamatannya.
Encik Shaibani berkata rundingan mengenai perjanjian keselamatan itu dibekukan sejak tercetusnya perang Iran, namun beliau menjangkakan ia akan disambung semula.
Hubungan antara Syria dengan Israel terputus selepas serangan ke atas pangkalan udara itu, tambahnya.
"Kami percaya perlu ada hubungan, khususnya dengan pihak yang sentiasa mengancam keselamatan Syria. Namun jika hubungan ini tidak membuahkan hasil, maka kami tidak memerlukannya," kata Encik Shaibani.
"Kami tidak mempercayai Israel buat masa ini."
Pejabat Perdana Menteri Israel tidak memberikan respons kepada permintaan Reuters untuk mengulas.
AMERIKA CUBA BAWA ISRAEL KEMBALI KE MEJA RUNDINGAN
Presiden Ahmed al-Sharaa sebelum ini berkata Syria tidak menimbulkan ancaman kepada negara lain dan Damsyik kini memberi tumpuan kepada usaha membina semula negara itu selepas perang selama 14 tahun.
Israel pula membangkitkankebimbangan mengenai ancaman keselamatan dari Syria sejak kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad pada 2024.
Beberapa hari selepas kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad pada 2024, Israel menawan kawasan di barat daya Syria dan mengebom puluhan tapak tentera negara itu.
"Israel cuba mengekalkan keselamatannyamenerusi kekerasan dan ia tidak berjaya," kata Encik Shaibani.
"Saya percaya rundingan akan disambung semula tidak lama lagi."
Namun belum ada tarikh ditetapkan.
"Amerika terus berusaha memberi tekanan kepada Israel supaya kembali ke meja rundingan," tambahnya.
Ditanya mengenai tahap keyakinannya terhadap rundingan tersebut, Encik Shaibani berkata: "Sangat sukar untuk mempertaruhkan harapan kepada Israel."
Namun Syria, katanya, menaruh harapan tinggi untuk membina hubungan yang stabil dengan negara-negara jirannya.
"Syria menghulurkan tangan untuk mencapai persefahaman, keamanan, diplomasi" dan kestabilan serantau, katanya.
HAMPIR SEMUA PERKARA SUDAH DIPERSETUJUI
Ketegangan kembali meningkat pada Selasa (18 Ogos) apabila Israel mengebom pangkalan udara Abu al-Duhur.
Israel mendakwa Damsyik akan membenarkan tentera Turki ditempatkan di pangkalan itu, namun Syria dan Turki menafikan dakwaan tersebut.
Encik Shaibani berkata Syria menghormati kebimbangan keselamatan Israel, tetapi Israel juga perlu menghormati kebimbangan keselamatan Syria.
Ini termasuk penggunaan ruang udara Syria oleh Israel serta serangan dan penahanan yang dilakukan Israel di selatan negara itu.
Menurut Encik Shaibani, sekitar awal tahun ini kedua-dua pihak sudah "bersetuju di atas kertas mengenai hampir semua perkara" berkaitan perjanjian keselamatan.
Perjanjian itu menetapkan Israel perlu menghentikan serangan terhadap Syria, selain berundur dari kawasan yang ditawannya selepas kejatuhan pemerintahan Bashar al-Assad.
Ia juga akan merangkumi beberapa zon keselamatan di wilayah Syria berhampiran sempadan Israel.
Antaranya ialah zon penampan yang hanya akan menempatkan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain beberapa zon lain yang membolehkan pasukan Syria ditempatkan dengan tahap kekuatan berbeza.
Namun Encik Shaibani menuduh Israel cuba mengelak daripada melaksanakan perjanjian itu.
"Kami tidak melihat mereka benar-benar mempunyai kemahuan untuk mencapai persetujuan," katanya.
HENTIKAN SERANGAN SEBELUM BINCANG SOAL KEAMANAN, BUKIT GOLAN
Syria dan Israel secara teknikal berada dalam keadaan perang sejak 1948.
Israel menawan Bukit Golan daripada Syria dalam perang pada 1967.
Menurut Encik Shaibani, keutamaan sekarang adalah untuk "menghentikan pencerobohan Israel sebelum mencapai perjanjian keselamatan".
"Selepas itu, mungkin kita boleh membuka perbincangan mengenai keamanan dan Golan," katanya.
Utusan Khas Amerika bagi Syria Tom Barrack pada Selasa (18 Ogos) berkata Washington sedang berusaha mewujudkan satu mekanisme bagi mencegah ketegangan antara Israel, Turki dan Syria.
Encik Shaibani berkata belum ada persetujuan mengenai mekanisme tersebut.
Menurutnya, langkah itu mesti dapat menghentikan serangan dan membuka jalan kepada perjanjian keselamatan, bukan mengukuhkan pendudukan Israel.
Encik Shaibani turut berkata Israel mengebom Abu al-Duhur meskipun Syria sudah menyampaikan mesej bahawa pangkalan itu tidak akan dijadikan pangkalan Turki.
Syria mendapatkan sokongan Turki dalam latihan dan kerjasama ketenteraan, katanya, sambil menyatakan kerjasama sedemikian turut dilakukan dengan Jordan, Arab Saudi dan negara-negara lain.
Damsyik berterima kasih atas sokongan Turki dalam usaha membina semula angkatan tenteranya dan tidak akan mengetepikan sokongan tersebut, tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.