Perang Amerika, Israel dan Iran: Syria, Israel adakan rundingan peringkat tinggi; Amerika sebagai pengantara
Sebuah kereta kebal Israel di kedudukan berhampiran garisan gencatan senjata antara dataran Bukit Golan yang diduduki Israel dan Syria, di pihak Israel, pada 20 Ogos 2026. (Gambar fail: Reuters/Ayal Margolin)
- Syria dan Israel mengadakan rundingan peringkat tinggi di Jordan pada 23 Ogos dengan pengantaraan Amerika Syarikat bagi meredakan ketegangan selepas serangan Israel ke atas Syria.
- Perbincangan tertumpu kepada mekanisme menghentikan serangan, penahanan, serta operasi bersasar Israel, dan menghidupkan semula rundingan perjanjian keselamatan.
- Syria menegaskan keutamaan kepada pengunduran Israel ke kedudukan sebelum 8 Disember 2024 dan menolak sebarang aturan yang mengehadkan hak ketenteraannya.
- Kedua-dua pihak masih kurang percaya antara satu sama lain, sementara isu status Bukit Golan dan zon keselamatan turut dibincangkan namun belum dimuktamadkan.
Rundingan itu memberi tumpuan kepada mekanisme praktikal untuk menghentikan serangan, penahanan dan operasi bersasar Israel, serta menghidupkan semula rundingan ke arah perjanjian keselamatan yang boleh menjadi asas kepada perjanjian lebih menyeluruh pada masa depan, kata SANA.
Kedua-dua pihak turut membincangkan usaha meredakan ketegangan antara Israel dengan Turki serta mencegah permusuhan mereka daripada merebak ke wilayah Syria.
Menteri Luar Syria Asaad al-Shaibani memberitahu Reuters pada Sabtu bahawa Damsyik menjangkakan rundingan keselamatan dengan Israel disambung semula tidak lama lagi, namun menambah bahawa kedua-dua pihak masih kurang percaya terhadap satu sama lain.
Rundingan itu digantung sejak perang ke atas Iran bermula, manakala Syria memutuskan hubungan sepenuhnya selepas serangan Israel ke atas pangkalan udara Abu al-Duhur di Syria minggu lalu, menurut Encik Asaad al-Shaibani.
Washington sudah berusaha selama lebih setahun untuk menjadi pengantara perjanjian keselamatan antara Israel dengan pemerintah Presiden Syria Ahmed al-Sharaa.
Encik Asaad al-Shaibani berkata kedua-dua pihak secara prinsip bersetuju dengan “hampir segala-galanya” sekitar awal tahun ini, termasuk aturan bagi zon keselamatan di selatan Syria dan zon penampan yang hanya akan menempatkan pasukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Namun Damsyik meragui kesediaan Israel untuk melaksanakan perjanjian itu.
Pejabat Perdana Menteri Israel tidak menjawab permintaan untuk mengulas kenyataan Encik Asaad al-Shaibani.
Pada pertemuan Ahad, SANA melaporkan Syria menyatakan keutamaan segera negara itu kekal pada pengunduran Israel ke kedudukan yang dipegang sebelum penggulingan Bashar al-Assad pada 8 Disember 2024, serta pemulihan penuh perjanjian pengunduran tentera 1974.
Damsyik turut memberitahu delegasi Israel bahawa pihaknya tidak akan menerima aturan yang mengehadkan haknya untuk membina semula dan membangunkan angkatan tenteranya atau menentukan pakatan serta perkongsiannya, lapor SANA.
Syria mengulangi bahawa Bukit Golan yang diduduki Israel merupakan wilayah Syria, namun berkata perbincangan mengenai status muktamad kawasan itu masih terlalu awal.
Israel melancarkan serangan berulang kali ke atas tapak ketenteraan Syria sejak kejatuhan Bashar al-Assad, dengan alasan tindakan itu perlu bagi melindungi keselamatannya. Syria menafikan menjadi ancaman kepada Israel dan menuntut serangan serta pencerobohan Israel dihentikan.
Syria dan Israel secara teknikalnya masih berperang sejak 1948. Israel menawan Bukit Golan daripada Syria dalam Perang Enam Hari pada 1967 dan kemudian menakluknya, iaitu tindakan yang diiktiraf Amerika Syarikat tetapi tidak diterima oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.