Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Syarikat penerbangan global kurangkan unjuran keuntungan 2026 akibat kesan perang Iran

Industri penerbangan global hampir mengurangkan separuh daripada unjuran keuntungannya bagi 2026 pada Ahad (7 Jun), sambil mengatakan bahawa konflik di Timur Tengah yang telah meningkatkan kos bahan api, mengganggu laluan udara utama dan mendedahkan betapa rapuhnya sektor yang beroperasi dengan jidar keuntungan yang tipis itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Syarikat penerbangan global kurangkan unjuran keuntungan 2026 akibat kesan perang Iran

Gambar yang diambil pada 6 Disember 2023 ini menunjukkan papan tanda dengan logo Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) semasa Hari Media Global IATA di Geneva. (Gambar: AFP/Fabrice Coffrini)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 08 Jun 2026 07:41AM
RIO DE JANEIRO: Industri penerbangan global hampir mengurangkan separuh daripada unjuran keuntungannya bagi 2026 pada Ahad (7 Jun), sambil mengatakan bahawa konflik di Timur Tengah yang telah meningkatkan kos bahan api, mengganggu laluan udara utama dan mendedahkan betapa rapuhnya sektor yang beroperasi dengan jidar keuntungan yang tipis itu.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), yang mewakili lebih 370 syarikat penerbangan dan merangkumi sekitar 85 peratus trafik udara global, menyatakan dalam laporan tahunannya bahawa ia kini menjangkakan industri itu akan mencatat keuntungan bersih yang digabungkan sebanyak AS$23 bilion (S$29.67) pada 2026.

Angka itu jauh lebih rendah berbanding unjuran sebelumnya sekitar AS$41 bilion (S$52.9 bilion) dan turut merosot daripada AS$45 bilion (S$58.06 bilion) yang dicatatkan pada 2025.

Semakan ke bawah itu menonjolkan pendedahan syarikat penerbangan kepada kejutan geopolitik dan turun naik harga bahan api, meskipun permintaan penumpang kekal kukuh, pesawat terbang dengan kapasiti yang lebih penuh dan hasil pendapatan dijangka meningkat melepasi AS$1.1 trilion (S$1.42 trilion).

"Terdapat dua faktor utama: pertama, kenaikan ketara harga bahan api jet yang jauh lebih tinggi daripada jangkaan kebanyakan pihak, dan kedua, gangguan yang menjejas syarikat penerbangan di rantau Teluk, jadi gabungan kedua-dua faktor ini menyebabkan kami menurunkan unjuran," kata Ketua Pengarah IATA Willie Walsh kepada Reuters pada mesyuarat tahunan kumpulan itu di Rio de Janeiro.

Encik Walsh berkata beliau menjangkakan beberapa syarikat penerbangan kecil akan muflis atau diambil alih oleh syarikat penerbangan lebih besar tahun ini dan tahun depan apabila kos bahan api yang lebih tinggi mula meninggalkan kesan.

Syarikat penerbangan tambang jimat Amerika Syarikat, Spirit Airlines, menghentikan operasi bulan lalu, menjadikannya syarikat penerbangan pertama yang menjadi mangsa perang Iran.

Syarikat-syarikat penerbangan juga dijangka mengurangkan laluan yang tidak menguntungkan bagi melindungi jidar keuntungan, manakala tambang penerbangan yang melonjak sejak tercetusnya perang Iran berkemungkinan tidak akan turun dalam masa terdekat, kata Encik Walsh.

"Dalam keadaan permintaan yang masih agak kukuh tetapi dengan kapasiti yang berkurangan, keadaan itu berkemungkinan menyebabkan tambang kekal tinggi," kata beliau.

KEJUTAN KOS BAHAN API HAKIS HASIL LEBIH TINGGI

Konflik di Timur Tengah, yang tercetus menyusuli serangan udara Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran, memaksa syarikat penerbangan mengubah laluan penerbangan bagi mengelakkan ruang udara yang ditutup atau dikenakan sekatan.

Keadaan itu menambah beberapa jam kepada tempoh perjalanan tertentu, meningkatkan penggunaan bahan api dan menambah tekanan ke atas kapasiti yang sememangnya sudah terhad.

Pada masa yang sama, harga minyak melonjak berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan, sekali gus menyebabkan harga bahan api jet meningkat secara mendadak dan memperluaskan jidar penapisan minyak. Akibatnya, syarikat penerbangan berdepan lonjakan dalam kos terbesar mereka.

Syarikat penerbangan Teluk seperti Emirates, Qatar Airways dan Etihad Airways berdepan ketidaktentuan operasi paling besar selepas ruang udara serantau hampir ditutup sepenuhnya pada peringkat awal perang tersebut.

Encik Walsh berkata kebanyakan rantau dijangka kekal mencatat keuntungan, walaupun pada paras lebih rendah, manakala syarikat penerbangan Timur Tengah berkemungkinan mengalami kerugian akibat konflik dan permintaan yang lebih lemah.

IATA menjangkakan bil bahan api syarikat penerbangan meningkat kepada sekitar AS$350 bilion (S$451.54 bilion) tahun ini berbanding kira-kira AS$252 bilion (S$325.11 bilion) pada 2025, dengan bahan api menyumbang hampir satu pertiga daripada kos operasi.

Keadaan itu menghakis keuntungan bagi setiap penumpang, dengan syarikat penerbangan kini dijangka memperolehi sekitar AS$4.50 (S$5.81) bagi setiap penumpang, iaitu kira-kira separuh daripada paras tahun lalu.

Dari sudut positif, IATA menjangkakan hasil industri meningkat 9.4 peratus kepada sekitar AS$1.16 trilion (S$1.50 trilion) tahun ini, didorong oleh permintaan perjalanan yang stabil, tambang yang lebih tinggi serta peningkatan pendapatan daripada perkhidmatan tambahan seperti naik taraf tempat duduk dan perkhidmatan dalam pesawat.

Kekurangan pesawat juga terus memberi tekanan kepada sektor tersebut.

Menurut Encik Walsh, kelengahan kiriman pesawat oleh Boeing dan Airbus memaksa syarikat penerbangan untuk terus menggunakan pesawat lama yang kurang cekap dari segi penggunaan bahan api untuk tempoh lebih lama, sekali gus meningkatkan kos penyelenggaraan dan menjejaskan usaha meningkatkan jidar keuntungan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita