Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Susunan semula perbelanjaan kerajaan tidak jejas sektor kesihatan, pendidikan: PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Susunan semula perbelanjaan kerajaan tidak jejas sektor kesihatan, pendidikan: PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)

Diterbitkan : 04 May 2026 03:32PM
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan penyusunan semula perbelanjaan kerajaan tidak menjejaskan sektor kesihatan dan pendidikan.
  • Pengambilan doktor, jururawat, pembinaan klinik dan sekolah serta penambahan kelas baharu diteruskan seperti dirancang.
  • Penjimatan kerajaan tertumpu kepada pengurangan perbelanjaan berlebihan seperti kursus luar negara dan majlis di hotel mewah.
  • Langkah ini diambil untuk mengoptimumkan sumber kerajaan menghadapi cabaran krisis bekalan global dan subsidi yang meningkat.
Dijana oleh AI
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Isnin (4 Mei) menegaskan langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan tidak menjejas sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.

Beliau berkata pengambilan doktor dan jururawat baharu serta pembinaan klinik tidak terkesan, manakala projek pembinaan sekolah termasuk penambahan kelas baharu bagi menampung kemasukan pelajar juga diteruskan seperti dirancang.

Encik Anwar berkata demikian kepada para wartawan selepas Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam pada Isnin (4 Mei).

Selain itu, Encik Anwar berkata walaupun perbelanjaan Kementerian Pendidikan dikurangkan tetapi pembinaan kelas-kelas baharu untuk kemasukan pelajar sekarang tidak terjejas.

Justeru, Encik Anwar menempelak sikap pihak tertentu yang tanpa berasaskan fakta cepat melenting berhubung langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan.      

Encik Anwar menjelaskan, penjimatan tertumpu kepada perbelanjaan yang dianggap berlebihan termasuk penganjuran kursus di luar negara, majlis di hotel mewah serta projek pembangunan yang melangkaui keperluan sebenar.

Beliau berkata kursus-kursus yang boleh dilaksanakan dalam negara akan diadakan secara tempatan, manakala majlis rasmi kini digalakkan diadakan di premis kementerian bagi mengurangkan kos.

"Majlis-majlis di hotel-hotel mewah dihentikan, dibuat di kementerian. Skop pembinaan yang melebihi keadaan biasa itu dikurangkan," katanya lagi.

Pada 29 April lalu, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa panduan telah dikeluarkan kepada kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus, selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan tanggungan subsidi yang meningkat.

Langkah itu adalah sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat bagi mengoptimumkan sumber kerajaan supaya dapat mengekalkan sokongan kepada rakyat secara berterusan.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita