Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Setiausaha Perbendaharaan Amerika beri amaran 'kempen pengeboman terbesar' terhadap Iran

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent berkata, negara itu sedang bersiap sedia untuk melancarkan apa yang disifatkannya sebagai “kempen pengeboman terbesar” terhadap infrastruktur peluru berpandu Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan media pada Jumaat (6 Mac).
Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Setiausaha Perbendaharaan Amerika beri amaran 'kempen pengeboman terbesar' terhadap Iran
Asap menjulang menyusuli satu letupan di Tehran, Iran, di tengah-tengah konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran. (Gambar: REUTERS)
Diterbitkan : 08 Mar 2026 07:41AM
ANKARA: Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent berkata, negara itu sedang bersiap sedia untuk melancarkan apa yang disifatkannya sebagai “kempen pengeboman terbesar” terhadap infrastruktur peluru berpandu Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik laporan media pada Jumaat (6 Mac).

“Malam ini akan menjadi kempen pengeboman terbesar kami dan kami akan menyebabkan kerosakan paling besar terhadap pelancar peluru berpandu Iran serta kilang yang menghasilkan peluru berpandu itu dan kami sedang melemahkan keupayaan mereka dengan ketara” kata Encik Bessent dalam temu bual dengan pengacara Larry Kudlow di rangkaian FOX Business.

Encik Bessent berkata, Iran gagal mencapai kejayaan dari segi ketenteraan menyusuli apa yang disifatkannya sebagai kempen serangan Amerika Syarikat yang “amat hebat.”

“Setelah gagal mencapai kejayaan di sana (secara ketenteraan), mereka cuba mencetuskan kekacauan ekonomi dan saya tidak fikir mereka akan berjaya melakukannya,” kata beliau.

Encik Bessent turut memberi amaran bahawa ketegangan di sekitar Selat Hormuz boleh mengganggu pasaran tenaga global.

Kira-kira 20 peratus minyak mentah dan gas asli dunia melalui laluan perairan strategik itu, yang sebahagian besarnya berada di bawah kawalan Iran.

“Apabila konflik bermula, syarikat insurans menggugurkan semua perlindungan insurans bagi kapal yang keluar masuk Selat Hormuz atau kawasan Teluk secara umum,” kata Encik Bessent seperti yang dipetik oleh FOX Business.

Bagi menangani kebimbangan tersebut, Perbadanan Pembangunan Kewangan Antarabangsa Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia akan menyediakan sehingga AS$20 bilion (S$25.49 bilion) perlindungan insurans untuk kapal-kapal yang beroperasi di kawasan itu.

“Program ini akan memberikan perlindungan insurans kepada pengendali kapal, sama ada mereka mengangkut minyak, produk petroleum atau baja,” kata Encik Bessent.

Beliau berkata, kapal mungkin diiring tentera laut jika perlu bagi memastikan laluan di Selat Hormuz kekal selamat.

Menurutnya, pihak berkuasa kini menunggu penilaian lanjut berhubung keselamatan maritim daripada Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM).

“Kami akan menunggu maklum balas daripada CENTCOM mengenai bila laluan selamat boleh digunakan. Saya tidak tahu sama ada ia mengambil masa seminggu atau dua minggu, tetapi kami berada di landasan untuk menyelesaikan isu ini,” kata beliau.

Ketegangan serantau meningkat sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran pada 28 Februari, yang dilaporkan meragut nyawa lebih 1,000 orang, termasuk Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei, lebih 150 pelajar perempuan serta beberapa pegawai kanan tentera.

Iran kemudian melancarkan serangan balas besar-besaran yang menyasarkan pangkalan tentera, kemudahan diplomatik dan aset anggota tentera Amerika Syarikat di seluruh rantau tersebut, selain beberapa bandar di Israel.

Serangan antara kedua-dua pihak terus meningkat sejak itu.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita