Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Serangan Israel di Lubnan ragut sekurang-kurangnya 3 nyawa

Serangan Israel di selatan Lubnan meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa pada Jumaat (4 Sep), menurut media rasmi Lubnan, meskipun gencatan senjata dengan Hezbollah yang disokong Iran masih berkuat kuasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Serangan Israel di Lubnan ragut sekurang-kurangnya 3 nyawa

Gambar fail satelit menunjukkan kerosakan di rabung Ali al-Taher berhampiran Nabatieh, Lubnan, pada 8 Mac 2026. (Gambar: 2026 Planet Labs PBC/Edaran menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 05 Sep 2026 06:45AM
  • Tentera Israel melancarkan serangan di selatan Lubnan pada 4 September, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga maut dan beberapa cedera, walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa.
  • Serangan tertumpu di kawasan strategik rabung Ali al-Taher dan Nabatieh, dengan Israel mendakwa telah menawan rabung tersebut serta menyingkir anggota Hezbollah dari terowong bawah tanah.
  • Pembebasan lima tahanan Lubnan oleh Israel melalui Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa adalah sebahagian usaha membina keyakinan hasil rundingan yang disokong Amerika Syarikat.
  • PBB melaporkan penduduk yang kembali ke kawasan terjejas berdepan kemusnahan, kekurangan perkhidmatan asas dan keadaan keselamatan yang tidak menentu akibat konflik berterusan.
Dijana oleh AI
BEIRUT: Serangan Israel di selatan Lubnan meragut sekurang-kurangnya tiga nyawa pada Jumaat (4 Sep), menurut media rasmi Lubnan, meskipun gencatan senjata dengan Hezbollah yang disokong Iran masih berkuat kuasa.

Agensi Berita Nasional (NNA) kendalian pemerintah Lubnan melaporkan serangan tersebut mengena kawasan berhampiran rabung strategik Ali al-Taher, yang menurut tentera Israel sudah ditawannya. Namun, Hezbollah tidak mengesahkan bahawa ia kehilangan kawalan ke atas kawasan tersebut.

Dua pemuda "menjadi sasaran ketika menunggang sebuah motosikal" di bandar Nabatieh, menurut NNA. Pasukan penyelamat kemudian membawa mayat mereka ke sebuah hospital tempatan.

Israel mengumumkan pada Khamis bahawa ia sudah menguasai rabung tersebut. Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata pihak tentera akan berusaha untuk "menghalang musuh daripada bertapak semula di kawasan itu".

Israel memperhebat serangan di wilayah Nabatieh pada Jumaat dan turut menyasarkan kampung Rmadiyeh di kawasan Tyre, yang terletak lebih 10 kilometer dari sempadan Israel, menurut NNA.

Serangan di kampung tersebut, yang menempatkan para penduduk yang kehilangan tempat tinggal dari kawasan lain di selatan Lubnan, mengena sebuah rumah dan mencederakan empat orang, menurut seorang sumber perkhidmatan penyelamat kepada AFP.

Israel dan Hezbollah saling berbalas serangan sejak Mac, apabila kumpulan bersenjata tersebut mengheret Lubnan ke dalam kancah perang lebih meluas di Timur Tengah dengan menyerang Israel bagi menyokong Iran.

Israel membalas dengan melancarkan serangan udara dan pencerobohan darat yang menurut Lubnan sudah meragut lebih 4,300 nyawa.

Konflik tersebut reda sejak memorandum persefahaman antara Amerika Syarikat dengan Iran serta perjanjian rangka kerja antara Israel dengan Lubnan dipersetujui pada Jun. Namun, Beirut tetap melaporkan serangan Israel.

Penyelaras kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Lubnan, Imran Riza, berkata di X pada Jumaat bahawa keluarga yang kembali ke Nabatieh menyusuli gencatan senjata "berdepan kemusnahan meluas, kekurangan perkhidmatan asas, keadaan keselamatan yang masih tidak menentu serta ketidakpastian".

HEZBOLLAH DISINGKIR DARI TEROWONG

Tentera Israel sudah menyingkirkan para anggota Hezbollah yang bertahan di dalam terowong di bawah rabung strategik Ali al-Taher di selatan Lubnan, menurut Menteri Pertahanan Israel Israel Katz pada Jumaat. Namun, kumpulan yang disokong Iran tersebut belum memberikan sebarang komen.

Israel sebelum ini menyatakan, para anggota Hezbollah berada di dalam terowong di bawah rabung tersebut. Rabung itu menghadap sebuah kawasan yang luas dan menjadi antara lokasi yang paling sengit dipertikaikan dalam perang Israel-Hezbollah, meskipun gencatan senjata diumumkan pada Jun.

Reuters melaporkan pada Khamis bahawa Iran sudah memberi amaran kepada Amerika Syarikat bulan lalu bahawa ia akan bertindak balas dengan tegas sekiranya Israel menyerang kedudukan sekutunya, Hezbollah, di rabung tersebut.

Hezbollah belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen, manakala Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas status rabung tersebut.

TENTERA ISRAEL DI LUBNAN

Israel sudah memperluas kehadiran tenteranya di beberapa kawasan di selatan Lubnan sejak melancarkan kempen baharu terhadap Hezbollah pada Mac.

Pada Jumaat, pihak berkuasa Israel menyerahkan empat individu yang ditahan di Israel kepada pihak berkuasa Lubnan menerusi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Seorang lelaki Lubnan dibebaskan lebih awal pada Khamis. Pembebasan para tahanan tersebut adalah sebahagian daripada langkah membina keyakinan yang dipersetujui dalam rundingan antara Lubnan dengan Israel yang disokong Amerika Syarikat.

Israel menyatakan pada Khamis bahawa tiada seorang pun daripada lima individu itu didapati mempunyai kaitan dengan kumpulan bersenjata.

Sebuah jawatankuasa Lubnan yang memperjuangkan nasib rakyat negara itu dalam tahanan Israel menyatakan Israel sudah menahan berpuluh-puluh individu di dalam wilayah Lubnan sepanjang enam bulan lalu. Sebahagian daripada mereka dibebaskan selepas beberapa hari atau minggu, manakala yang lain masih dalam tahanan Israel.

ICRC menyatakan pada Jumaat bahawa ia tidak diberikan akses kepada sesiapa yang ditahan Israel sejak Oktober 2023.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata Lubnan juga akan menyerahkan kepada Israel mayat tokoh-tokoh Yahudi yang terbunuh di Lubnan pada 1980-an. Namun, tiada butiran diberikan berhubung identiti mereka atau bila penyerahan tersebut akan dilakukan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita