Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Serangan dron di lapangan terbang Kuwait; Iran-Amerika bertikai tentang perdagangan

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Serangan dron di lapangan terbang Kuwait; Iran-Amerika bertikai tentang perdagangan

Orang ramai berlari di tengah-tengah asap daripada kebakaran selepas serangan Iran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pada 3 Jun 2026. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 03 Jun 2026 11:06PM Dikemas Kini : 03 Jun 2026 11:32PM
ISTANBUL: Kuwait pada Rabu (3 Jun) berkata serangan Iran mengorbankan seorang individu, mencederakan 63 yang lain dan merosakkan kemudahan utama termasuk misi diplomatik, sambil menegaskan negara itu mempunyai “hak penuh” untuk bertindak balas, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kementerian Luar Kuwait mengutuk serangan Iran menggunakan peluru berpandu balistik dan dron, sambil menyatakan serangan terbaharu pada awal Rabu menyasarkan kemudahan awam dan penting termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu menyatakan serangan itu turut menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur kritikal termasuk misi diplomatik.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Abdullah Al-Sanad berkata 63 orang cedera dalam serangan itu, termasuk tujuh yang menjalani pembedahan kecemasan.

Beliau berkata mangsa yang cedera termasuk kakitangan lapangan terbang dan pelancong, dengan para mangsa mengalami patah tulang, kecederaan kepala, pendarahan otak serta kecederaan pada anggota badan.

Kementerian Luar berkata Kuwait mempunyai “hak penuh dan sedia ada” untuk mengambil langkah sewajarnya sebagai tindak balas terhadap serangan itu selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Kementerian itu menyatakan Kuwait menolak sekeras-kerasnya serangan agresif Iran, sambil menyifatkannya sebagai tindakan terang-terangan yang mencetuskan peningkatan ketegangan, memburukkan keadaan di rantau itu serta menjejaskan keselamatan dan kestabilan serantau.

Menurut kementerian itu, serangan berkenaan merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Ketetapan Majlis Keselamatan PBB 2817 Tahun 2026.

Kementerian berkenaan menegaskan keselamatan, kedaulatan serta keselamatan rakyat dan pemastautin Kuwait adalah “garis merah yang tidak boleh dilanggar”.

Ia turut memberi amaran bahawa serangan berulang itu mencerminkan pendekatan agresif secara sistematik yang tidak akan diterima atau dibiarkan oleh Kuwait.

Pasukan Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa serangan itu menyasarkan pangkalan Amerika Syarikat di Kuwait sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika ke atas Pulau Qeshm di selatan Iran pada awal Rabu.
 
Sumber : AFP/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita