Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Serangan baharu gegar Tehran; Israel janjikan ‘banyak kejutan’

Perang Iran semakin memuncak lewat Sabtu (7 Mac) dengan api menjulang di atas sebuah kemudahan penyimpanan minyak di Tehran.
Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Serangan baharu gegar Tehran; Israel janjikan ‘banyak kejutan’
Satu letupan berlaku menyusuli serangan berhampiran Menara Azadi dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Mehrabad di Tehran pada 7 Mac 2026. (Gambar: AFP/Atta Kenare)
DUBAI: Perang Iran semakin memuncak lewat Sabtu (7 Mac) dengan api menjulang di atas sebuah kemudahan penyimpanan minyak di Tehran.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menjanjikan “banyak kejutan” bagi fasa seterusnya konflik tersebut yang kini memasuki minggu kedua.

Media negara Iran mengesahkan serangan ke atas kemudahan minyak itu dengan video Associated Press menunjukkan ufuk bercahaya di langit malam. Tentera Israel mengesahkan serangan-serangan baharu yang menggegarkan kawasan kejiranan di timur dan selatan Tehran namun tidak mengulas berhubung sasaran tersebut.

Ia kelihatan sebagai kali pertama kemudahan industri awam menjadi sasaran dalam perang tersebut. Media negara menyalahkan “serangan daripada Amerika Syarikat dan rejim Zionis” ke atas kemudahan yang membekalkan bahan api kepada ibu negara serta wilayah-wilayah berhampiran di utara.

Terdahulu pada hari tersebut, Presiden Iran Masoud Pezeshkian memohon maaf atas serangan terhadap “negara-negara jiran”, sedang peluru berpandu dan dron negaranya terus menuju ke negara Arab Teluk. Pada masa yang sama, golongan tegar menegaskan bahawa strategi perang Tehran tidak akan berubah.

Perpecahan antara ahli politik yang mahu meredakan perang dan pihak lain yang komited untuk terus bertempur dengan Amerika Syarikat serta Israel boleh merumitkan sebarang usaha diplomatik. Kenyataan bercanggah Iran datang daripada dua daripada tiga anggota majlis kepimpinan yang menyelia negara itu sejak Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam serangan udara pada pembukaan perang.

Encik Pezeshkian turut menolak gesaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump supaya Tehran menyerah kalah tanpa syarat, dengan berkata: “Itu merupakan mimpi yang mereka patut bawa ke kubur.”

Encik Trump mengancam bahawa Iran akan “diserang dengan sangat dahsyat” dan lebih banyak “kawasan dan kumpulan” akan disasarkan, tanpa memberikan butiran lanjut. Setakat ini, konflik tersebut menggoncang pasaran global dan melemahkan kepimpinan Iran menyusuli ratusan serangan udara Israel dan Amerika Syarikat.

IRAN KELUARKAN KENYATAAN BERBEZA-BEZA BERHUBUNG SERANGAN

Mesej Encik Pezeshkian, yang kelihatan dirakam secara tergesa-gesa, menekankan kuasa terhad yang dimiliki pemimpin teokrasi itu terhadap Pengawal Revolusi paramilitari, yang mengawal ratusan peluru berpandu balistik yang menyasarkan Israel dan negara-negara lain. Pasukan itu hanya bertanggungjawab kepada Encik Khamenei dan kelihatan seakan-akan memilih sasarannya sendiri.

Kenyataan Encik Pezeshkian menyatakan majlis kepimpinan Iran sudah berhubung dengan angkatan bersenjata dan bahawa “mulai sekarang, mereka tidak seharusnya menyerang negara jiran atau melancarkan peluru berpandu ke arah mereka, kecuali jika kami diserang oleh negara-negara tersebut. Saya fikir kita harus menyelesaikan perkara ini melalui diplomasi”.

Serangan Amerika Syarikat tidak dilancarkan pemerintah Arab Teluk yang diserang, sebaliknya dari pangkalan dan kapal Amerika di rantau itu.

Namun ketua kehakiman Gholam Hossein Mohseni-Ejei yang berpendirian tegar, yang juga merupakan seorang lagi anggota majlis kepimpinan tiga orang tersebut, memberi bayangan bahawa strategi perang tidak akan berubah.

“Geografi beberapa negara di rantau ini - sama ada secara terbuka atau tersembunyi - berada di tangan musuh, dan lokasi tersebut digunakan terhadap negara kami dalam tindakan bermusuhan. Serangan hebat terhadap sasaran ini akan diteruskan,” tulis beliau di X.

“Selagi kehadiran pangkalan-pangkalan Amerika Syarikat di rantau ini berterusan, negara-negara itu tidak akan menikmati keamanan,” kata Speaker Parlimen Iran dan mantan jeneral Pengawal Revolusi, Mohammad Bagher Ghalibaf, di X. Beliau berkata dasar pertahanan perlu selari dengan panduan pemimpin tertinggi Iran yang sudah meninggal dunia.

Misi Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kemudian mencadangkan, tanpa memberikan bukti, bahawa serangan terhadap lokasi-lokasi bukan ketenteraan “mungkin berpunca daripada pintasan oleh sistem pertahanan elektronik Amerika Syarikat”.

Lewat Sabtu, pegawai keselamatan kanan Iran Ali Larijani menegaskan dalam satu ucapan yang disiarkan media negara bahawa “para pemimpin kami bersatu dalam hal ini dan tidak mempunyai sebarang perbezaan pendapat antara satu sama lain”.

Beliau juga berkata majlis kepimpinan sudah memohon supaya “persiapan dibuat” bagi mengadakan Perhimpunan Pakar untuk memilih pemimpin tertinggi yang baharu, namun tidak menyatakan bila ia akan dilakukan.

GOLONGAN KURDI TIDAK AKAN TERLIBAT: TRUMP

Encik Trump berkata beliau menolak kemungkinan melibatkan pejuang Kurdi dalam perang tersebut, walaupun para pejuang Kurdi di rantau itu bersedia untuk membantu usahanya menggulingkan pemerintah Iran.

“Perang ini sudah cukup rumit tanpa melibatkan orang Kurdi,” kata Encik Trump kepada para wartawan di dalam pesawat Air Force One.

Beberapa hari lalu, para pegawai Kurdi memberitahu AP bahawa kumpulan pembangkang Kurdi-Iran yang berpangkalan di utara Iraq sedang bersiap sedia untuk kemungkinan menjalankan operasi ketenteraan rentas sempadan di Iran dan bahawa Amerika Syarikat sudah meminta sokongan daripada kumpulan tersebut.

Amerika Syarikat dan Israel menyasarkan keupayaan ketenteraan Iran, kepimpinannya serta program nuklearnya. Matlamat dan tempoh perang yang dinyatakan berubah-ubah beberapa kali, dengan Amerika Syarikat kadangkala memberi bayangan bahawa ia mahu menggulingkan pemerintah Iran atau membolehkan satu kepimpinan baharu.

Pertempuran itu sudah membunuh sekurang-kurangnya 1,230 orang di Iran, lebih 290 di Lubnan dan 11 di Israel, menurut para pegawai di negara-negara tersebut. Enam anggota tentera Amerika Syarikat turut terbunuh.

SERANGAN SASARKAN BAHRAIN, ARAB SAUDI DAN DUBAI
Related article image
Petikan skrin daripada rakaman yang dimuat naik di media sosial pada 7 Mac 2026 ini menunjukkan asap naik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai. (Gambar: AFP)
SERANGAN SASARKAN BAHRAIN, ARAB SAUDI DAN DUBAI

Sekutu Amerika Syarikat di Teluk menyatakan bahawa pentadbiran Encik Trump tidak memberi mereka masa yang mencukupi untuk bersiap sedia menghadapi perang.

Beberapa jam selepas permohonan maaf Encik Pezeshkian, Amiriah Arab Bersatu menyatakan satu serpihan daripada pintasan udara jatuh ke atas sebuah kenderaan dan membunuh seorang “pemandu Asia”. Empat orang kini terbunuh di UAE sejak perang bermula. Pihak berkuasa menyatakan, kesemua daripada mereka merupakan warga asing.

Semboyan berbunyi lebih awal pada Sabtu di Bahrain, dengan Iran menyasarkan pemerintah pulau tersebut. Arab Saudi pula memaklumkan ia memusnahkan dron yang menuju ke medan minyak Shaybah yang luas serta menembak jatuh peluru berpandu balistik yang dilancarkan ke arah Pangkalan Udara Prince Sultan, yang menempatkan tentera Amerika.

Di Dubai, beberapa letupan kedengaran pada pagi Sabtu dan pemerintah menyatakan bahawa ia sudah mengaktifkan sistem pertahanan udara. Para penumpang yang menunggu penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai diarahkan masuk ke dalam terowong-terowong kereta api.
Sumber : AP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita