Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Selat Hormuz hanya dibuka sepenuhnya jika Amerika terima syarat Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Selat Hormuz hanya dibuka sepenuhnya jika Amerika terima syarat Iran

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran (SNSC), Mohsen Rezaei, berkata Selat Hormuz tidak akan dibuka semula sepenuhnya selagi Amerika Syarikat tidak mengubah tindakannya dan menerima syarat Iran. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 12 Aug 2026 10:01AM
TEHRAN: Selat Hormuz di Teluk Parsi hanya akan dibuka semula sepenuhnya sekiranya Amerika Syarikat menerima syarat yang ditetapkan Iran, kata pegawai keselamatan tertinggi negara itu.

Agensi Berita Republik Islam (IRNA) melaporkan Iran mengenakan sekatan terhadap transit di selat berkenaan sejak awal Mac menyusuli serangan Amerika-Israel terhadap negara itu.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi (SNSC) yang baharu dilantik, Mohsen Rezaei, berkata Amerika perlu menamatkan perang terhadap Iran dan sekutu serantaunya serta membebaskan dana Iran yang disekat sebelum Selat Hormuz dibuka semula sepenuhnya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan Duta China ke Tehran, Zong Piyu, pada Selasa (11 Ogos).

"Selagi Amerika tidak mengubah tindakannya dan menerima syarat Iran, Selat Hormuz tidak akan dibuka semula," kata Mohsen Rezaei.

Encik Mohsen berkata Iran turut menyampaikan beberapa syarat lain kepada Amerika menerusi pihak pengantara yang terlibat dalam rundingan tidak langsung antara kedua-dua pihak sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya Iran dan Oman, sebuah lagi negara pesisir Selat Hormuz, mencapai persetujuan mengenai laluan transit di perairan itu, ia tidak akan mempengaruhi keputusan Iran sama ada untuk menutup atau membuka semula selat tersebut.

Dalam pertemuan dengan duta China itu, Encik Mohsen menyifatkan keputusan Beijing menentang satu draf ketetapan yang dianggap "anti-Iran dan menyalahi undang-undang" yang dibentangkan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa perang Amerika-Israel terhadap Iran pada Mac sebagai "langkah positif".

Beliau turut memuji perkongsian strategik antara Iran dengan China serta keanggotaan kedua-dua negara dalam pertubuhan antarabangsa utama seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan BRICS.

Menurut Encik Mohsen, perkongsian itu berpotensi menjadi pemangkin penting kepada pembangunan hubungan dua hala pada masa depan.
Sumber : Bernama/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita