Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Selat Hormuz dibuka semula, Trump jangka perjanjian tamatkan perang dicapai 'tidak lama lagi'

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Selat Hormuz dibuka semula, Trump jangka perjanjian tamatkan perang dicapai 'tidak lama lagi'

Kerosakan dapat dilihat di jeti perikanan di pelabuhan pulau Qeshm, Iran, pada 13 April 2026. (Gambar: AP/Asghar Besharati)

DUBAI: Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi berkata pada Jumaat (17 April) Selat Hormuz dibuka susulan perjanjian gencatan senjata di Lubnan, manakala Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata rundingan boleh berlaku hujung minggu ini dan beliau percaya perjanjian untuk menamatkan perang Iran akan tercapai "tidak lama lagi".

Encik Araqchi berkata dalam satu catatan di X bahawa selat itu dibuka kepada semua kapal komersial selama baki tempoh gencatan senjata 10 hari yang diusahakan oleh Amerika Syarikat yang dipersetujui pada Khamis antara Israel dengan Lubnan untuk menghentikan pertempuran antara tentera Israel dan Hezbollah yang dibiayai Iran.

Tidak lama selepas kenyataan Encik Araqchi itu diterbitkan, Encik Trump menulis catatan di Truth Social di mana beliau berkata: "Iran baru sahaja mengumumkan Selat Iran dibuka sepenuhnya dan sedia untuk dilalui."

Namun kenyataan daripada kedua-dua pihak menimbulkan ketidakpastian berhubung seberapa cepat rundingan perkapalan dapat disambung semula.

Encik Trump berkata kepungan Amerika terhadap kapal yang belayar ke pelabuhan Iran - yang diumumkan selepas rundingan dengan Tehran hujung minggu lalu berakhir tanpa persetujuan - akan kekal sehingga "transaksi kami dengan Iran 100 peratus selesai".

Iran bertindak balas dengan segera, dengan jurucakap Kementerian Luar Esmaeil Baghaei memberi amaran bahawa Tehran akan mengambil "langkah timbal balik yang perlu" jika sekatan maritim berterusan.

Data trafik kapal menunjukkan sekumpulan kira-kira 20 kapal, termasuk kapal kontena, kapal pengangkut pukal, dan kapal tangki, bergerak melalui Teluk menuju Selat Hormuz. Tidak jelas sama ada ia akan dihalang atau dibenarkan lalu.

Ia juga tidak jelas bagaimana kedua-dua pihak akan menangani program nuklear Iran, yang menjadi isu pertikaian utama dalam rundingan setakat ini.

Encik Trump memberitahu Reuters bahawa Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan Iran untuk mendapatkan semula uranium yang diperkaya dan membawanya kembali ke Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada sebarang perjanjian untuk menamatkan perang.

Seorang pegawai kanan Iran memberitahu Reuters bahawa tiada persetujuan dicapai dan rundingan serius diperlukan untuk mengatasi perbezaan antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, Tehran berharap persetujuan awal dapat dicapai dalam beberapa hari akan datang yang membawa kepada lanjutan tempoh gencatan senjata yang akan tamat minggu depan.

Pegawai itu menambah, ia akan memberi lebih banyak masa untuk rundingan mengenai penarikan balik sekatan ke atas Iran dan mendapatkan pampasan bagi kerosakan perang.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita