Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Sekutu NATO enggan sertai kepungan Selat Hormuz oleh Trump

Sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyatakan pada Isnin (13 Apr) mereka tidak akan terlibat dalam rancangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengepung Selat Hormuz, sebaliknya mencadangkan campur tangan hanya selepas pertempuran berakhir, dalam langkah yang berkemungkinan menimbulkan kemarahan Encik Trump dan meningkatkan lagi ketegangan dalam pakatan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Sekutu NATO enggan sertai kepungan Selat Hormuz oleh Trump

Logo Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan bendera Amerika Syarikat di ibu pejabat NATO di Brussels, Belgium, pada 17 Februari 2025. (Gambar fail: REUTERS/Nicolas Tucat)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 14 Apr 2026 08:20AM
LONDON: Sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyatakan pada Isnin (13 Apr) mereka tidak akan terlibat dalam rancangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengepung Selat Hormuz, sebaliknya mencadangkan campur tangan hanya selepas pertempuran berakhir, dalam langkah yang berkemungkinan menimbulkan kemarahan Encik Trump dan meningkatkan lagi ketegangan dalam pakatan tersebut.

Encik Trump berkata tentera Amerika Syarikat akan bekerjasama dengan negara-negara lain untuk mengepung semua trafik maritim di laluan air tersebut, selepas rundingan pada hujung minggu gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan perang enam minggu dengan Iran.

Tentera Amerika Syarikat kemudian menjelaskan bahawa kepungan tersebut, yang dijadual bermula pada pukul 2.00 petang GMT (pukul 10.00 malam waktu Singapura) pada Isnin, hanya akan terpakai kepada kapal-kapal yang menuju ke atau dari pelabuhan Iran.

Sejak bermulanya perang pada 28 Februari, Iran sebahagian besarnya menutup selat tersebut kepada semua kapal kecuali kapal miliknya sendiri.

Ia juga berusaha mengekalkan kawalannya ke atas selat tersebut dan berkemungkinan mengenakan cukai ke atas kapal-kapal yang menggunakannya.

“Kepungan akan bermula tidak lama lagi. Negara-negara lain akan turut terlibat dalam kepungan ini,” kata Encik Trump dalam satu catatan di platform Truth Social pada Ahad.

Namun, sekutu NATO termasuk Britain dan Perancis menyatakan mereka tidak akan terheret ke dalam kancah itu dengan menyertai kepungan tersebut, sebaliknya memaklumkan bahawa mereka sedang mengusahakan satu inisiatif untuk membuka semula laluan air berkenaan, yang biasanya menyalurkan sekitar satu perlima daripada bekalan minyak global.

Keengganan mereka untuk mengambil bahagian menjadi satu lagi titik ketegangan dengan Encik Trump, yang mengancam untuk menarik diri daripada pakatan ketenteraan tersebut dan sedang mempertimbangkan untuk mengundurkan sebahagian daripada tentera Amerika dari Eropah selepas beberapa negara menafikan penggunaan ruang udara mereka kepada pesawat tentera Amerika bagi serangan ke atas Iran.

TEKANAN BESAR

“Kami tidak menyokong kepungan itu,” kata Perdana Menteri Britain Keir Starmer kepada BBC.

“Keputusan saya sangat jelas bahawa walau apa pun tekanan, dan memang terdapat tekanan yang besar, kami tidak akan terheret ke dalam kancah perang,” kata beliau.

Setiausaha Agung NATO Mark Rutte memberitahu pemerintah Eropah bahawa Encik Trump mahukan komitmen yang konkrit dalam masa terdekat untuk membantu mengamankan Selat Hormuz, menurut para diplomat kepada Reuters minggu lalu.

NATO boleh memainkan peranan di selat itu jika 32 anggotanya dapat bersetuju untuk membentuk satu misi, kata Encik Rutte pada 9 April.

Beberapa negara Eropah menyatakan mereka bersedia membantu di selat tersebut, namun hanya selepas wujudnya penamatan permusuhan yang berkekalan serta perjanjian dengan Iran bahawa kapal-kapal mereka tidak akan diserang.

Perancis akan menganjurkan satu persidangan bersama Britain dan negara-negara lain untuk mewujudkan misi berbilang negara bagi memulihkan pelayaran di selat berkenaan, kata Presiden Perancis Emmanuel Macron di platform X pada Isnin.

“Misi ini bersifat defensif sepenuhnya, berbeza daripada pihak yang berperang, dan akan dilaksanakan sebaik sahaja keadaan mengizinkan,” kata Encik Macron.

Inisiatif itu bertujuan menetapkan peraturan bagi laluan selamat serta penyelarasan kapal tentera untuk mengiringi kapal tangki, kata Encik Starmer di Parlimen pada Isnin.

“Biar saya jelaskan, ini adalah untuk melindungi perkapalan dan menyokong kebebasan pelayaran selepas perang berakhir. Matlamat bersama kita ialah satu pelan berbilang negara yang terselaras dan bebas,” kata beliau.

Satu mesyuarat bagi merangka pelan misi tersebut, yang melibatkan kira-kira 30 negara, termasuk negara-negara Teluk, India, Greece, Sepanyol, Itali, Belanda dan Sweden, mungkin diadakan seawal Khamis di Paris atau London, menurut sumber diplomatik Perancis.

Kapal-kapal tentera akan memberi jaminan keselamatan tanpa bersikap agresif, menurut sumber itu, sambil menambah bahawa Iran dan Amerika Syarikat akan dimaklumkan berhubung misi tersebut tetapi tidak akan terlibat secara langsung.

Seorang lagi sumber diplomatik Eropah mempersoalkan sama ada Encik Trump akan menyambut baik misi tersebut selepas beliau mengarahkan kepungan untuk dilaksanakan.

“Memandangkan Encik Trump kini menggunakan selat itu sebagai kelebihannya sendiri, adakah beliau masih mengalu-alukan misi di situ?” tanya sumber tersebut.

Selat Hormuz seharusnya dibuka semula melalui diplomasi, kata Menteri Luar Turki Hakan Fidan pada Isnin, sambil menambah bahawa penubuhan pasukan antarabangsa untuk mengawasinya akan mewujudkan keadaan yang rumit.

Beliau turut menggesa NATO untuk menyegarkan semula hubungannya dengan Encik Trump pada sidang puncak di Ankara pada Julai.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita