Perang Amerika, Israel dan Iran: Sekatan Amerika terhadap pelabuhan Iran masih berkuat kuasa sebalik pengumuman Trump
(Gambar: Reuters)
- Amerika Syarikat meneruskan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran sejak 13 April, dengan kapal menerima amaran daripada CENTCOM.
- Penasihat ketenteraan Iran menuduh Presiden Amerika mengkhianati diplomasi kerana meneruskan sekatan dan tuntutan berlebihan dalam rundingan.
- Donald Trump menyatakan sekatan akan ditarik balik jika Iran mengalihkan periuk api di Selat Hormuz, namun rundingan masih buntu walaupun ada pengantaraan Pakistan.
- Ketegangan serantau meningkat selepas serangan Amerika dan Israel ke atas Iran, diikuti tindak balas Tehran dan penutupan Selat Hormuz, sementara usaha damai masih diteruskan.
ISTANBUL: Sekatan laut Amerika Syarikat terhadap pelabuhan Iran masih diteruskan, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik agensi berita separa rasmi Iran.
“Sekatan laut masih berkuat kuasa dan kapal menerima amaran supaya berhenti serta larangan laluan daripada Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM),” lapor Tasnim pada Sabtu, memetik pelaut Iran.
Sementara itu, penasihat ketenteraan kanan kepada pemimpin tertinggi Iran menuduh Washington “mengkhianati diplomasi”.
“Seperti dijangka, Presiden Amerika mengkhianati diplomasi buat kali ketiga.
“Dengan meneruskan sekatan laut dan mengemukakan tuntutan berlebihan dalam rundingan, beliau sekali lagi membuktikan bahawa beliau tidak bersedia untuk berunding dan mempunyai objektif lain,” tulis Encik Mohsen Rezaei di platform X.
Dalam catatan di platform media sosialnya, Truth Social, pada Jumaat, Presiden Amerika Donald Trump berkata Iran dikehendaki mengalihkan baki periuk api di Selat Hormuz, manakala Amerika Syarikat akan menarik balik sekatan laut terhadap kapal yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran.
"Kapal yang tersangkut di Selat itu disebabkan oleh Sekatan Tentera Laut kami yang luar biasa dan belum pernah terjadi sebelum ini, yang kini akan ditarik balik, boleh memulakan proses untuk 'pulang ke tanah air!'" kata Encik Trump.
Ketegangan serantau memuncak sejak Amerika dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada Februari.
Tehran bertindak balas dengan melancarkan serangan terhadap Israel serta sekutu Washington di Teluk, selain menutup Selat Hormuz.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan sebelum dilanjutkan tanpa had oleh Encik Trump.
Susulan rundingan yang menemui jalan buntu di bawah pengantaraan Islamabad, Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sejak 13 April termasuk yang terletak di sepanjang Selat Hormuz yang strategik.
Usaha pengantaraan masih diteruskan bagi menamatkan konflik antara pihak terbabit.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.