Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Saham Wall Street meningkat susuli harapan Amerika-Iran capai kata sepakat

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Saham Wall Street meningkat susuli harapan Amerika-Iran capai kata sepakat

Para pedagang bekerja di Bursa Saham New York semasa dagangan pagi pada 16 September 2026 di New York City. (Gambar: AFP/Michael M. Santiago)

Diterbitkan : 26 Sep 2026 07:34AM
NEW YORK: Saham Wall Street kembali meningkat pada Jumaat (25 Sep), mengakhiri minggu yang tidak menentu dengan prestasi positif, sedang harga minyak merosot menyusuli harapan bahawa Amerika Syarikat dan Iran dapat mencapai persetujuan yang boleh membawa kepada pembukaan semula Selat Hormuz.

Pasaran menilai isyarat bercampur-campur daripada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu ini mengenai hubungan antara Washington dengan Tehran.

Walaupun Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian saling mengeluarkan kenyataan keras dalam ucapan masing-masing di PBB, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi mengemukakan rancangan, termasuk pembukaan semula Selat Hormuz dalam tempoh tujuh hari.

“Ia tawaran yang meragukan memandangkan Iran tidak mengubah syaratnya berbanding sebelum ini,” kata penganalisis Briefing.com Patrick O'Hare. “Kita akan lihat berapa lama sentimen positif daripada tawaran Iran ini akan bertahan.”

Namun, Angelo Kourkafas dari Edward Jones berkata “terdapat sedikit harapan bagi huraian diplomatik terhadap perang di Timur Tengah, dengan harga minyak turun sedikit hari ini”.

Para pelabur dilihat mengambil pendekatan lebih optimis, menyebabkan harga minyak merosot lebih dua peratus, manakala indeks saham utama Amerika Syarikat berada dalam kedudukan positif hampir sepanjang hari. Indeks S&P 500 ditutup 0.5 peratus lebih tinggi.

“Kita menyaksikan tarik-menarik antara kadar faedah yang meningkat dan harga tenaga yang tidak menentu dengan asas korporat dan ekonomi yang sangat kukuh,” kata Encik Kourkafas.

Kebimbangan mengenai inflasi akibat penutupan Selat Hormuz, di samping risiko bekalan dari Teluk berkurangan lagi akibat serangan Houthi terhadap prasarana Arab Saudi di Laut Merah, sekali lagi mendorong kenaikan hasil bon pemerintah, sedang pelabur menuntut pulangan lebih tinggi untuk meminjamkan wang.

Hasil penanda aras bon Perbendaharaan Amerika 10 tahun mencecah paras tertinggi sejak 2007 pada Khamis, manakala hasil bon pemerintah Jepun turut mencapai paras tertinggi sejak beberapa tahun lalu.

Gabenor Bank England Andrew Bailey pula memberi bayangan bahawa bank pusat itu mungkin menyusuli Bank Pusat Eropah (ECB) dan Rizab Persekutuan Amerika (Fed) dengan menaikkan kadar faedah dalam masa beberapa bulan akan datang. Langkah itu boleh mengekang inflasi tetapi pada masa yang sama memperlahankan pertumbuhan ekonomi.

Bagi pasaran saham, “pertemuan yang kelihatan mesra” antara Encik Trump dengan Presiden China Xi Jinping di Washington membantu meningkatkan sentimen pelabur, kata ketua pasaran AJ Bell Dan Coatsworth.

Namun, pelanjutan gencatan perdagangan antara kedua-dua negara selama dua bulan hingga Januari jauh lebih singkat berbanding tempoh dua tahun yang diharapkan China.

“Risiko perdagangan Amerika-China kekal ... dengan isu tarif, pembelian hasil pertanian, mineral nadir bumi dan sekatan teknologi masih belum diselesaikan,” kata pakar strategi pasaran MUFG Lloyd Chan.

Encik Trump berkata beliau juga membincangkan perang Iran yang menemui jalan buntu dengan Encik Xi. Kedua-dua pemimpin turut mengesahkan bahawa mereka akan bertemu buat kali ketiga dan keempat tahun ini dalam sidang puncak antarabangsa di China dan Amerika Syarikat.
Sumber : AFP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita