Perang Amerika, Israel dan Iran: Rusia 'pembekal alternatif' bagi Asia setelah bekalan tenaga terbatas akibat perang
Pemimpin Indonesia melakukan lawatan ke Tokyo minggu ini dalam usaha untuk menangani krisis bahan api di Asia.
Orang ramai beratur untuk mendapatkan petrol di sebuah stesen minyak di Vietnam. (Gambar: REUTERS/Khanh Vu)
Perlumbaan untuk mendapatkan bekalan alternatif semakin memuncak dengan China, ekonomi kedua terbesar dunia, mengenakan larangan eksport bahan api, sementara negara-negara seperti Korea Selatan dan Thailand cuba memanfaatkan kelonggaran sekatan Amerika Syarikat terhadap tenaga Rusia sebagai langkah sementara.
Keadaan semakin terdesak bagi negara-negara lebih miskin, dengan Filipina menjadi yang pertama mengisytiharkan darurat tenaga, Sri Lanka pula memendekkan waktu kerja di tempat kerja kepada empat hari dalam seminggu, dan Myanmar mengehadkan memandu kereta kepada hari berselang-seli.
Ekonomi terbesar Asia Tenggara dan negara keempat paling ramai penduduk di dunia, Indonesia, turut mengumumkan pelbagai langkah termasuk mengehadkan penjualan bahan api serta menggesa orang ramai untuk bekerja dari rumah.
"Untuk mengekalkan hubungan ekonomi yang rasional amat penting," kata Presiden Prabowo Subianto kepada para pemimpin perniagaan Jepun di Tokyo selepas beberapa perjanjian dimeterai pada Isnin (30 Mac) melibatkan projek jangka panjang minyak dan gas serta tenaga geoterma.
"Situasi geopolitik di Timur Tengah mewujudkan ketidaktentuan strategik terhadap keselamatan tenaga kami."
Dalam masa terdekat, Jakarta mungkin memeterai perjanjian untuk meningkatkan bekalan gas asli cecair (LNG) ke Tokyo sebagai pertukaran bagi gas petroleum cecair (LPG), bahan api penting untuk memasak, kata ketua pengawal selia minyak dan gas SKK Migas, Djoko Siswanto, kepada Reuters pada Isnin (30 Mac).
Walaupun Encik Prabowo dan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam keselamatan tenaga semasa mesyuarat pada Selasa (31 Mac), kedua-dua pemimpin tidak mengesahkan perjanjian pertukaran tersebut.
Pengeluar minyak dan gas yang disokong pemerintah Jepun, Inpex, sedang membincangkan perjanjian pertukaran yang serupa dengan India bagi menukar LPG dengan nafta dan minyak mentah, menurut dokumen dalaman pemerintah Jepun yang dilihat Reuters.
Vietnam juga mendapatkan bantuan Jepun untuk menambah bekalan tenaganya, menurut dokumen itu, manakala Filipina menyatakan pada Isnin bahawa ia telah menerima diesel dari Tokyo.
Menteri Perdagangan Jepun menekankan betapa pentingnya untuk membekalkan bahan api ke negara-negara Asia Tenggara di mana ia mempunyai rantaian bekalan, namun enggan mengulas berhubung sebarang perjanjian khusus.
Jepun yang kekurangan sumber bergantung kepada Timur Tengah bagi sekitar 95 peratus daripada bekalan minyaknya dan 11 peratus daripada import gas asli cecairnya, walaupun stok tenaga negara itu merupakan antara yang terbesar di dunia.
LARANGAN EKSPORT CHINA MENINGGALKAN KESAN
Kedudukan Australia sebagai pengeluar dan pengeksport tenaga utama sepatutnya memberinya kelebihan dalam rundingannya dengan rakan-rakan Asia untuk bekalan bahan api pesawat yang mungkin berkurangan tidak lama lagi, kata para penganalisis tenaga.
Pemerintah negara itu sedang berunding dengan beberapa pembekal utama seperti China, Singapura dan Korea Selatan, kata Menteri Luar Penny Wong pada bulan ini.
Namun China telah melarang eksport bahan api yang ditapis, termasuk bahan api pesawat, bagi melindungi ekonominya daripada gangguan tenaga.
Larangan itu, dan satu lagi oleh Thailand, memberi kesan besar kepada Vietnam, memandangkan negara jiran itu membekalkan lebih 60 peratus daripada keperluan bahan api pesawatya.
Pengawal selia penerbangan Vietnam bulan ini menggesa pihak berkuasa untuk mendapatkan bekalan bahan api pesawat dari Brunei, India, Jepun dan Korea Selatan.
Perjanjian dua hala dengan pembekal alternatif dijangka membantu meredakan kekurangan, namun perang yang berpanjangan memerlukan usaha yang lebih menyeluruh, kata Hiroshi Hashimoto, zamil kanan di Institut Ekonomi Tenaga Jepun.
"Jika krisis berlarutan, negara-negara Asia mungkin perlu membangunkan rangka kerja berbilang hala untuk saling membantu dan berunding dengan sumber-sumber bekalan alternatif."
RUSIA MUNGKIN JADI PEMBEKAL ALTERNATIF
Rusia berpotensi menjadi pembekal alternatif bagi beberapa negara Asia selepas Amerika Syarikat mengeluarkan pengecualian sementara terhadap sekatan yang dikenakan ke atas Rusia menyusuli serangannya ke atas Ukraine.
Buat pertama kali dalam tempoh beberapa tahun, Korea Selatan mengimport nafta dari Rusia minggu ini, bahan mentah yang penting untuk menghasilkan plastik yang digunakan bagi pelbagai produk daripada kenderaan hingga elektronik, dan turut berusaha untuk mendapatkan bekalan minyak mentah, menurut kementerian tenaga negara tersebut.
India telah meningkatkan pembelian minyak dari Rusia, yang turut menjadi rakan rundingan bagi Bangladesh, Thailand dan Sri Lanka.
Namun, ia agak mencabar untuk memuktamadkan perjanjian dengan syarikat-syarikat Rusia sebelum tempoh pengecualian sekatan Amerika Syarikat tamat pada 11 April, kata pengerusi syarikat milik Sri Lanka, Ceylon Petroleum Corp, Janaka Rajakaruna.
Negara-negara kecil seperti New Zealand turut menyedari bahawa ia mungkin terdedah kepada persaingan untuk mendapatkan bahan api yang dijangka semakin sengit dalam masa beberapa bulan akan datang.
Perdana Menteri Christopher Luxon telah mengadakan perbincangan melalui panggilan telefon sejak beberapa minggu kebelakangan ini dengan pemimpin Singapura, Malaysia dan Korea Selatan, tiga pembekal utama produk ditapis negara itu, dan juga dengan ketua Suruhanjaya Eropah.
Menteri Tenaga Shane Jones memberitahu Reuters bahawa beliau juga telah menghubungi pedagang-pedagang komoditi utama, antara lain, dalam usaha memperkukuh bekalan bahan api.
"Jika kita tidak membina pilihan, kita terlalu kecil untuk diberi perhatian dalam persaingan yang semakin sengit bagi mendapatkan bahan api dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang," tambah Encik Jones.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.