Perang Amerika, Israel dan Iran: Rundingan Amerika-Iran masih diteruskan meski kedua-dua pihak berbalas serangan
Dron Iran dan sistem peluru berpandu Iran dipamerkan di Dataran Azadi di Tehran, Iran, pada 30 Julai 2026. (Gambar: Majid Asgaripour/West Asia News Agency melalui REUTERS)
- Pakistan menegaskan rundingan antara Iran dan Amerika Syarikat masih berjalan walaupun berlaku serangan balas di rantau itu.
- Amerika Syarikat dan Arab Saudi melancarkan serangan ke atas kumpulan bersenjata di Iraq, manakala Iran menyerang Jordan dan beberapa lokasi lain.
- Mesir mengalami serangan dron di pelabuhan Mediterranean, menyebabkan kebakaran dan kerosakan kapal, sementara Kuwait turut terjejas akibat serangan Iran ke atas syarikat China.
- Pakistan berperanan sebagai pengantara untuk membawa semua pihak kembali ke meja rundingan demi mengurangkan ketegangan dan mencari penyelesaian berkekalan.
Arab Saudi menyertai Amerika Syarikat sejak dua hari lalu, dengan melancarkan serangan ke atas kumpulan-kumpulan bersenjata di Iraq, manakala Mesir pula diserang buat kali pertama menerusi serangan dron di sebuah pelabuhan di Mediterranean.
Pertempuran secara langsung kembali tercetus selepas gencatan senjata singkat yang bertujuan memberi ruang kepada rundingan.
"Rundingan antara pihak-pihak terbabit masih diteruskan, khususnya mengenai Selat Hormuz dan usaha mengurangkan ketegangan," kata jurucakap Kementerian Luar Pakistan, Tahir Andrabi, kepada wartawan di Islamabad.
Pakistan membantu memeterai perjanjian antara pihak-pihak yang bertelagah sebagai asas kepada rundingan bagi huraian berkekalan, dan Encik Tahir Andrabi berkata negaranya melakukan "segala yang termampu untuk membawa semua pihak kembali" ke rundingan teknikal di bawah perjanjian itu.
SERANGAN DI IRAN
Awal dari itu, tentera Amerika Syarikat, menyatakan ia telah "berjaya melaksanakan gelombang besar serangan terhadap Iran", dengan menyasarkan berpuluh-puluh sasaran Pengawal Revolusi termasuk pusat-pusat markas tentera.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berikrar untuk menyerang Iran "dengan hebat" selepas serangan Tehran ke atas Jordan, yang merupakan serangan pertama di rantau itu dalam tempoh beberapa hari.
Agensi berita negara Iran IRNA melaporkan, beberapa bandar di wilayah Khuzestan di barat daya negara itu serta pulau Qeshm di Teluk menjadi sasaran serangan.
Tentera Jordan melaporkan satu lagi gelombang peluru berpandu Iran pada pagi Khamis, dengan menyatakan lima daripadanya berjaya dipintas tanpa menyebabkan sebarang nyawa terkorban.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Kuwait mengecam serangan Iran yang disifatkannya sebagai "kejam" kerana "menyasarkan sebuah bangunan milik sebuah syarikat China di utara negara itu, mengakibatkan seorang pekerja terbunuh dan menyebabkan kerosakan besar".
Walaupun kemudahan tenaga di tempat lain di rantau itu berulang kali menjadi sasaran dron dan peluru berpandu, Mesir terselamat sehingga Rabu apabila serangan di hab import gas mencetuskan kebakaran yang merosakkan dua kapal.
Pemerintah mengesahkan pada Khamis bahawa dron menjadi punca kebakaran itu, sambil menyatakan tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
Tambahnya, siasatan sedang dijalankan "bagi menentukan keadaan sebenar kejadian itu dan mengambil langkah yang perlu untuk memelihara kepentingan serta keselamatan negara Mesir".
Syarikat pemantau keselamatan swasta yang berpangkalan di Britain, Ambrey, melaporkan kapal simpanan terapung milik dan dikendalikan Amerika Syarikat itu diserang sekurang-kurangnya oleh sebuah dron.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.