Perang Amerika, Israel dan Iran: Rubio lihat kemajuan dalam rundingan Iran, tetapi lebih banyak usaha masih diperlukan
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio semasa majlis menandatangani dokumen di luar mesyuarat menteri luar NATO di Helsingborg, Sweden, pada Jumaat, 22 Mei 2026. (Gambar: AP/Julia Demaree Nikhinson)
Dalam usaha diplomatik yang semakin giat bagi menamatkan perang itu, ketua tentera Pakistan tiba di Tehran pada Jumaat untuk meneruskan usaha pengantaraan, manakala media Iran melaporkan bahawa menteri luar Iran dan menteri dalam negeri Pakistan mengadakan pertemuan di sana.
Qatar turut menghantar pasukan perunding yang bekerjasama dengan Amerika Syarikat ke Tehran untuk cuba menghuraikan perbezaan utama antara kedua-dua pihak, enam minggu selepas gencatan senjata rapuh dicapai.
Walaupun sebahagian jurang perbezaan berjaya dirapatkan, masih terdapat isu utama melibatkan uranium diperkaya Iran dan kawalan ke atas Selat Hormuz, yang penutupannya sejak permulaan perang mencetuskan krisis tenaga global.
“Terdapat sedikit kemajuan. Saya tidak mahu melebih-lebihkannya. Saya juga tidak mahu memperkecilkannya,” kata Encik Rubio kepada wartawan selepas mesyuarat menteri NATO di Helsingborg, Sweden.
“Masih banyak kerja perlu dilakukan. Kita belum sampai ke tahap itu lagi. Saya harap kita akan mencapainya.”
Agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, memetik sumber rapat dengan rundingan itu sebagai berkata rundingan masih diteruskan. Sumber tersebut menambah kemajuan dicapai dalam beberapa isu, tetapi tiada perjanjian akan dimeterai selagi semua perkara yang dipertikaikan belum diselesaikan.
Encik Rubio mengulangi kenyataannya pada Khamis bahawa rancangan Iran untuk mengenakan sistem tol di selat yang menjadi laluan bagi seperlima minyak dan gas asli cecair dunia “tidak boleh diterima”.
“Kita sedang berurusan dengan kumpulan yang sangat sukar, dan jika keadaan tidak berubah, presiden sudah menyatakan dengan jelas bahawa beliau mempunyai pilihan lain,” kata Encik Rubio.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Jumaat beliau tidak menghadiri majlis perkahwinan anak sulung lelakinya hujung minggu ini kerana perlu berada di Washington “dalam tempoh yang penting ini”, tanpa memberikan penjelasan lanjut.
Dua hari selepas menyampaikan mesej terbaharu Amerika Syarikat kepada Iran dalam rundingan tersebut, Menteri Dalam Negeri Pakistan Syed Mohsin Naqvi mengadakan satu lagi pusingan perbincangan dengan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi di Tehran, lapor Tasnim.
Tentera Pakistan kemudian mengumumkan ketibaan Field Marshal Asim Munir di Tehran tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Walaupun usaha pengantaraan semakin dipergiat, jurucakap kementerian luar Iran, Esmaeil Baghaei, dinukil agensi berita IRNA sebagai berkata diplomasi memerlukan masa dan memberi bayangan bahawa kedua-dua pihak masih belum berada pada tahap hampir mencapai persetujuan.
Beliau berkata isu nuklear tidak dibincangkan dan tiada kesimpulan akan dicapai jika Amerika Syarikat cuba membincangkan secara terperinci mengenai uranium diperkaya tinggi di Iran.
Amerika Syarikat dan Israel menyatakan matlamat perang mereka adalah untuk menyekat sokongan Iran terhadap kumpulan bersenjata serantau, melumpuhkan program nuklearnya, memusnahkan keupayaan peluru berpandunya serta memudahkan rakyat Iran menjatuhkan pemerintah mereka.
Namun, Iran setakat ini masih mengekalkan simpanan uranium diperkaya hampir ke tahap senjata serta keupayaan mengancam negara jiran menggunakan peluru berpandu, dron dan kumpulan bersenjata proksi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.