Perang Amerika, Israel dan Iran: Rubio harap perjanjian Iran dicapai, tegas tuntut sekatan nuklear
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio pada Selasa (2 Jun) menyuarakan harapan bahawa perjanjian untuk menamatkan perang dengan Iran mungkin dapat dicapai, sambil menegaskan bahawa Tehran mesti mengehadkan secara ketara program nuklearnya sebelum sebarang sekatan ditarik balik.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio memberi keterangan semasa pendengaran Jawatankuasa Kecil Peruntukan Dewan Perwakilan mengenai permintaan belanjawan Jabatan Negara bagi Tahun Kewangan 2027 Presiden Donald Trump, di Capitol Hill, Washington D.C., pada 2 Jun 2026. (Gambar: REUTERS/Kylie Cooper)
“Terdapat peluang di hadapan kita, yang boleh berlaku hari ini, esok atau minggu depan,” kata Encik Rubio kepada sebuah panel Kongres.
Encik Rubio memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Hubungan Luar Senat sedang perang Amerika Syarikat-Israel selama tiga bulan terhadap Iran kelihatan menemui jalan buntu, dengan penutupan Selat Hormuz yang strategik terus mengganggu pasaran tenaga global.
Encik Rubio menegaskan bahawa Tehran mesti membuka semula laluan perkapalan itu sebelum sebarang perjanjian damai dapat dilaksanakan, selain bersetuju untuk mengehadkan aktiviti nuklearnya bagi membolehkan sekatan ditarik balik.
“Iran dikenakan sekatan kerana mereka memperkaya uranium ke tahap tinggi, Iran dikenakan sekatan disebabkan aktiviti nuklear mereka,” kata Encik Rubio. “Jika mereka bersetuju untuk menghentikan perkara-perkara tersebut, sekatan akan dilonggarkan.”
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berulang kali menyatakan keyakinan bahawa perjanjian dengan Iran semakin hampir dicapai, namun rundingan terhenti. Walaupun gencatan senjata sebahagian besarnya kekal dipatuhi sejak awal April, pasukan Iran dan Amerika Syarikart saling melancarkan serangan dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Encik Rubio cuba meredakan kebimbangan berhubung permusuhan itu dengan mengatakan bahawa konflik tersebut pada hakikatnya sudah berakhir.
“Perang itu sudah berakhir,” kata beliau.
Sambil mengakui bahawa Iran “masih mempunyai banyak dron”, Encik Rubio mempertahankan keputusan untuk berperang dengan menyatakan bahawa ia berjaya mengurangkan dengan ketara keupayaan republik Islam itu untuk melakukan ancaman.
“Iran tidak lagi mempunyai tentera laut, mereka kehilangan sebahagian besar pangkalan perindustrian pertahanan mereka, dan Iran juga kehilangan sejumlah besar pelancar peluru berpandu,” kata Encik Rubio.
Beliau menambah: “Dan ekonomi mereka jauh lebih teruk hari ini, saya maksudkan jauh lebih teruk berbanding enam hingga sembilan bulan lalu.”
Encik Rubio turut menyatakan bahawa pemimpin tertinggi Iran, Mojtaba Khamenei, yang cedera dalam serangan Amerika Syarikat-Israel dan tidak pernah dilihat di khalayak ramai sejak memegang jawatan, masih hidup dan semakin aktif.
“Saya rasa terdapat petunjuk bahawa beliau semakin terlibat pada tahap tertentu,” kata Encik Rubio kepada panel tersebut.
Mojtaba Khamenei, 56 tahun, menggantikan bapanya Ali Khamenei, yang terbunuh dalam gelombang pertama serangan Amerika Syarikat-Israel yang mencetuskan perang pada 28 Februari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.