Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Rubio akan bertemu Pope Leo sedang Trump teruskan serangan lisan

Anggaran Waktu Membaca:
 Perang Amerika, Israel dan Iran: Rubio akan bertemu Pope Leo sedang Trump teruskan serangan lisan

Pope Leo XIV berjabat tangan dengan Marco Rubio, 19 Mei 2025. (Gambar fail: Vatican Media/­Simone Risoluti/Handout via REUTERS)

Diterbitkan : 07 May 2026 02:46PM Dikemas Kini : 07 May 2026 02:54PM
VATICAN CITY: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, akan bertemu Pope Leo di Vatican pada Khamis (7 Mei). Pertemuan ini dijangka agak tegang memandangkan Presiden Donald Trump terus melancarkan siri serangan lisan terhadap pemimpin Katolik itu berhubung peperangan di Iran.

Rubio, yang juga penasihat keselamatan negara Trump, dijadualkan tiba di Istana Apostolik Vatican sekitar 11.15 pagi waktu tempatan. Ini merupakan pertemuan pertama antara Pope dengan pegawai Kabinet Encik Trump dalam tempoh hampir setahun.

Pertemuan tertutup itu dijangka berlangsung selama kira-kira setengah jam. Selepas itu, Encik Rubio akan bertemu dengan diplomat tertinggi Vatican, Kardinal Itali Pietro Parolin.

Pope Leo, yang merupakan Pope pertama dari Amerika Syarikat, menimbulkan kemarahan Encik Trump selepas beliau menjadi pengkritik tegar terhadap perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran serta dasar antiimigresen pentadbiran Encik Trump yang tegas.

Presiden Trump meneruskan siri serangan awam yang luar biasa terhadap Pope Leo dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sehingga mencetuskan tindak balas negatif daripada para pemimpin Kristian daripada pelbagai aliran politik.

Pada Isnin lalu, Encik Trump mendakwa Pope Leo menyokong Iran untuk mendapatkan senjata nuklear. Encik Trump juga berkata Pope Leo "membahayakan ramai penganut Katolik" kerana menentang peperangan tersebut.

Pope Leo memberitahu wartawan selepas serangan terbaharu itu bahawa beliau hanya menyebarkan mesej keamanan mengikut ajaran Kristian. Beliau juga menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menyokong senjata nuklear, yang mana gereja Katolik menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak bermoral.

"Misi Gereja adalah untuk menyebarkan ajaran Injil dan keamanan," kata Pope Leo. "Gereja telah bersuara menentang semua senjata nuklear selama bertahun-tahun, itu tiada keraguan lagi."

Pope Leo, yang bakal menyambut ulang tahun pertama memimpin 1.4 bilion penganut Katolik pada Jumaat ini, kini semakin lantang bersuara di pentas dunia.

Semasa lawatan ke empat negara Afrika bulan lalu, beliau mengecam kepimpinan global dan berkata dunia sedang "dijahanamkan oleh segelintir pemerintah zalim". Beliau kemudiannya menjelaskan kenyataan itu tidak ditujukan terus kepada Encik Trump.

Encik Rubio sendiri beragama Katolik, begitu juga dengan Naib Presiden JD Vance. Mereka berdua pernah bertemu Pope Leo setahun lalu.

Dalam satu taklimat di Rumah Putih pada Selasa, Encik Rubio berkata beliau menjangka bakal membincangkan isu Cuba dan kebimbangan mengenai kebebasan beragama di seluruh dunia bersama Pope Leo.

Encik Rubio ke Rom tanpa ditemani pihak media di dalam pesawatnya, satu perkara yang jarang berlaku bagi seorang Setiausaha Negara Amerika.

Duta Amerika ke Vatican, Brian Burch, memberitahu wartawan bahawa perbualan antara Pope Leo dengan pegawai Kabinet itu berkemungkinan besar akan dilakukan secara "berterus-terang".

Encik Rubio akan berada di Rome selama dua hari. Beliau juga dijadual bertemu dengan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, pada Jumaat ini. Encik Meloni sebelum ini pernah mempertahankan Pope Leo daripada serangan Encik Trump. Menteri Pertahanan Itali juga menyatakan bahawa perang di Iran meletakkan kepimpinan Amerika Syarikat dalam risiko.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita