Perang Amerika, Israel dan Iran: Proses lucut senjata nuklear Iran berjalan lancar, menurut Trump
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Rabu (1 Jul) mengatakan proses melucutkan senjata nuklear Iran "berjalan lancar" ketika rundingan diteruskan di Qatar, lapor Anadolu Ajansi.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. (Gambar fail: AP)
"Mereka mengadakan mesyuarat yang sangat baik," kata Encik Trump kepada wartawan sebelum berlepas ke North Dakota, merujuk kepada utusan khasnya Steve Witkoff dan Jared Kushner yang kini berada di Doha.
Encik Trump menolak kebimbangan mengenai kemungkinan perang berskala penuh tercetus semula dengan menyatakan Iran sudah "mencapai banyak kemajuan".
Kenyataan beliau itu dibuat menyusuli laporan Wall Street Journal yang menyebut bahawa beliau baru-baru ini membincangkan kemungkinan perang berskala penuh tercetus semula bersama penasihat kanan ketenteraan, termasuk Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth, namun buat masa ini memutuskan untuk mengutamakan pendekatan diplomatik.
Presiden Amerika Syarikat itu berkata walaupun tenteranya "telah melancarkan serangan hebat terhadap Iran minggu lalu", beliau percaya proses diplomatik kini menunjukkan perkembangan yang positif. "Hubungan kami berjalan dengan sangat baik," kata Encik Trump.
Laporan Bloomberg pada Rabu pula menyatakan rundingan teknikal di Qatar menunjukkan kemajuan sedang Washington dan Tehran berusaha untuk mencapai penyelesaian berkekalan terhadap perang yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Walaupun Rumah Putih memberikan gambaran yang positif, Tehran secara rasmi menafikan sebarang pertemuan secara langsung dengan wakil Amerika Syarikat sudah dijadualkan, sambil menegaskan semua rundingan dijalankan menerusi pihak perantara.
Memorandum persefahaman antara Washington dan Tehran yang diusahakan oleh Pakistan mula berkuat kuasa selepas ditandatangani secara elektronik oleh Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat, Donald Trump.
Perjanjian itu menyediakan rangka kerja untuk menamatkan perang yang bermula pada penghujung Februari serta menangani isu-isu tertunggak antara Washington dan Tehran menerusi rundingan, termasuk gencatan senjata di semua medan, termasuk Lubnan, pelonggaran sekatan, isu nuklear, pembukaan semula sepenuhnya Selat Hormuz serta pengaturan keselamatan serantau yang lebih menyeluruh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.