Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Presiden Xi gesa Selat Hormuz kekal dibuka

Anggaran Waktu Membaca:
 Perang Amerika, Israel dan Iran: Presiden Xi gesa Selat Hormuz kekal dibuka

Kapal dan bot di Selat Hormuz (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 21 Apr 2026 10:58AM Dikemas Kini : 21 Apr 2026 10:59AM
  • Presiden China Xi Jinping menghubungi Putera Mahkota Arab Saudi untuk menekankan kepentingan Selat Hormuz kekal dibuka demi kepentingan serantau dan antarabangsa.
  • China menyuarakan kebimbangan terhadap ketidakstabilan akibat rampasan kapal Iran oleh Amerika Syarikat dan tindakan balas Iran menutup selat kepada kapal asing.
  • Xi Jinping menegaskan penyelesaian konflik Timur Tengah perlu melalui saluran politik dan diplomatik, serta menggesa gencatan senjata segera.
  • China menyokong negara Timur Tengah menentukan masa depan sendiri dan menyeru semua pihak mematuhi undang-undang antarabangsa serta perjanjian gencatan senjata.
Dijana oleh AI
BEIJING: Presiden China Xi Jinping menggesa agar laluan kapal di Selat Hormuz kekal dibuka seperti biasa. Perkara ini disampaikan melalui panggilan telefon pada Isnin (20 Apr) dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, ketika Beijing sedang giat berusaha untuk membantu menamatkan perang Iran.

China berasa bimbang dengan ketidakstabilan di perairan yang strategik itu. Gencatan senjata antara Amerika Syarikat dan Iran kini tergugat selepas Amerika Syarikat merampas sebuah kapal kargo Iran, manakala Tehran memberi isyarat tidak akan menyertai rundingan damai buat masa ini.

China merupakan pembeli utama minyak mentah Iran. Sejak Amerika Syarikat dan Israel memulakan peperangan pada Februari lalu, Iran menutup sebahagian besar selat tersebut kepada kapal asing kecuali kapal mereka sendiri. Washington pula melakukan kepungan terhadap kapal-kapal Iran sejak minggu lalu.

Menurut agensi berita Xinhua, Encik Xi menyatakan bahawa China mahu gencatan senjata segera dan menyeluruh dicapai. Beliau menegaskan bahawa konflik di Timur Tengah mesti diselesaikan melalui saluran politik dan diplomatik.

"Selat Hormuz harus kekal dibuka untuk laluan kapal, kerana ini adalah demi kepentingan bersama negara-negara serantau dan masyarakat antarabangsa," katanya kepada pemimpin Arab Saudi itu.

Kebimbangan semakin meningkat mengenai status gencatan senjata antara Washington dan Tehran selepas tindakan Amerika Syarikat merampas kapal Iran. Sebelum ini, Encik Trump pernah memuji Beijing kerana berjaya memujuk Iran untuk kembali ke meja rundingan dengan Amerika Syarikat di Pakistan.

Kementerian Luar China pada Isnin (20 Apr) menyatakan kebimbangan terhadap tindakan Amerika Syarikat yang "memintas secara paksa" kapal Iran tersebut, sambil menggesa pihak-pihak terlibat supaya mematuhi perjanjian gencatan senjata.

Panggilan telefon antara Encik Xi dengan Putera Mahkota Arab Saudi itu diadakan selepas pertemuan di Beijing minggu lalu dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, di mana Encik Xi menggesa agar undang-undang antarabangsa dipatuhi.

Encik Xi juga memberitahu Putera Mahkota Arab Saudi bahawa China menyokong negara-negara di Timur Tengah untuk "menentukan masa depan dan nasib mereka sendiri, serta mempromosikan keamanan dan kestabilan jangka panjang di rantau tersebut."
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita