Perang Amerika, Israel dan Iran: Presiden Lubnan gesa lanjutkan mandat pasukan pengaman PBB di selatan
Presiden Lubnan Joseph Aoun pada Isnin (17 Ogos) menggesa supaya mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dilanjutkan, dengan menyifatkan kehadiran pasukan tersebut penting bagi kestabilan di selatan negara berkenaan, lapor Anadolu Ajansi.
Presiden Lubnan Joseph Aoun menggesa agar mandat Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dilanjutkan. (Gambar: AP)
- Presiden Lubnan Joseph Aoun menggesa supaya mandat UNIFIL dilanjutkan demi kestabilan di selatan Lubnan.
- Beliau menegaskan kehadiran UNIFIL penting untuk keselamatan penduduk dan kerjasama dengan tentera Lubnan.
- Israel dilaporkan menolak kehadiran UNIFIL, manakala Lubnan terus menuntut pasukan itu dikekalkan.
- Gesaan ini dibuat ketika ketegangan berterusan di sempadan Lubnan-Israel, dengan mandat UNIFIL dijadual tamat pada 31 Disember 2026.
“Kehadiran UNIFIL di selatan penting dalam pelbagai aspek dan membantu memastikan penduduk kekal di kampung serta bandar mereka, selain mengukuhkan kestabilan melalui kerjasama dan penyelarasan dengan tentera Lubnan,” kata Encik Aoun ketika bertemu delegasi parlimen, menurut kenyataan pejabat presiden.
“Pilihan pertama kita ialah melanjutkan mandat UNIFIL,” kata beliau.
“Jika mandatnya tidak dilanjutkan, pilihan kedua ialah menerima pakai satu formula yang memastikan kehadiran berterusan pasukan antarabangsa di selatan, dalam rangka perundangan yang diperlukan.”
Encik Aoun berkata pasukan berkenaan akan membantu menyokong kestabilan melalui kerjasama dengan tentera Lubnan.
Presiden Lubnan itu berkata Israel menolak kehadiran UNIFIL dan “telah mendesak ke arah tersebut sejak hampir setahun lalu”.
“Lubnan pula terus menuntut agar UNIFIL dikekalkan,” kata beliau.
“Matlamat asasnya adalah untuk mencapai satu penyelesaian yang memastikan kehadiran antarabangsa berterusan di selatan, sama ada melalui lanjutan mandat UNIFIL atau melalui pasukan antarabangsa yang menyokongnya, dengan cara mengekalkan kestabilan serta memperkukuh peranan negara dan tentera Lubnan,” kata beliau.
UNIFIL ditempatkan sejak 1978 bagi memantau gencatan senjata di sepanjang sempadan Lubnan-Israel dan menyokong Angkatan Tentera Lubnan di selatan Lubnan. Mandatnya dijadualkan tamat pada 31 Disember 2026.
Perkembangan tersebut berlaku sedang ketegangan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel berterusan sejak Israel melancarkan serangan ke atas Lubnan, meragut nyawa lebih 4,300 orang, mencederakan lebih 12,300 dan menyebabkan lebih satu juta orang kehilangan tempat tinggal sejak 2 Mac, menurut angka rasmi Lubnan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.