Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: PM Qatar gesa usaha kendurkan ketegangan di Timur Tengah dipertingkat

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: PM Qatar gesa usaha kendurkan ketegangan di Timur Tengah dipertingkat

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 23 May 2026 09:52PM
ISTANBUL: Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani menggesa sokongan untuk usaha meredakan ketegangan serantau semasa mengadakan panggilan telefon dengan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Sabtu (23 Mei).

Sheikh Mohammed menegaskan semula sokongan "penuh" Doha untuk usaha berterusan mendapatkan perjanjian komprehensif bagi menyelesaikan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, menurut Kementerian Luar Qatar menerusi catatan di X, lapor Anadolu Ajansi.

Menteri Luar Qatar itu juga menekankan keperluan untuk semua pihak terlibat secara membina dengan usaha pengantaraan yang berterusan bagi mencapai keamanan berkekalan dan kestabilan serantau.

"Kebebasan pelayaran ialah prinsip asas yang tidak boleh dikompromi," kata menteri itu sambil menegaskan bahawa menutup Selat Hormuz atau "menggunakannya sebagai alat tawar-menawar hanya akan memburukkan krisis dan menjejaskan kepentingan negara-negara di rantau ini."

Beliau juga mendesak semua pihak agar menghormati undang-undang antarabangsa dan prinsip hubungan kejiranan yang baik, serta mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat di rantau tersebut.

Ketegangan serantau meruncing sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Februari lalu. Tehran bertindak balas dengan serangan yang menyasarkan Israel dan sekutu-sekutu Amerika Syarikat di Teluk, berserta penutupan Selat Hormuz.

Gencatan senjata dikuatkuasakan pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian yang berkekalan.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kemudian melanjutkan tempoh gencatan senjata yang rapuh itu.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita