Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: PM Pakistan Shehbaz Sharif kata gencatan senjata Amerika-Iran meliputi 'semua tempat' termasuk Lubnan

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: PM Pakistan Shehbaz Sharif kata gencatan senjata Amerika-Iran meliputi 'semua tempat' termasuk Lubnan

Pasukan bantuan pertama berkumpul di lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah kenderaan di Saida, Lubnan pada 8 April 2026. (Gambar: AFP/Mahmoud Zayyat)

Diterbitkan : 08 Apr 2026 11:08AM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 12:53PM
ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, berkata pada Rabu (8 Apr) bahawa Amerika Syarikat, Iran dan sekutu mereka bersetuju melaksanakan gencatan senjata “di semua tempat”, termasuk Lubnan, berikutan usaha pengantaraan oleh pemerintah beliau bagi menghentikan peperangan yang berlarutan berminggu-minggu lamanya.

“Saya gembira untuk mengumumkan bahawa Republik Islam Iran dan Amerika Syarikat, bersama sekutu mereka, bersetuju untuk laksana gencatan senjata segera di semua tempat termasuk Lubnan dan tempat lain, BERKUATKUASA SEGERA,” tulis Encik Sharif di platform X.

Beliau menambah bahawa ibu kota Pakistan, Islamabad, akan menyambut delegasi dari kedua-dua negara pada Jumaat untuk mengadakan rundingan bagi mencapai “persetujuan muktamad”.

“Kami amat berharap, bahawa ‘Rundingan Islamabad’ berjaya mencapai keamanan yang berkekalan dan berharap dapat berkongsi lebih banyak berita baik dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

Tehran dan Washington masing-masing mengumumkan bahawa mereka bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu hanya sejam sebelum tarikh akhir yang diberikan Presiden Amerika Donald Trump untuk “memusnahkan” Iran dijangka berakhir.

Pakistan, yang telah menjalin hubungan rapat dengan Trump dan peka terhadap perkembangan di negara jiran Iran, muncul sebagai saluran untuk penyampaian mesej antara Tehran dan Washington dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Perang bermula apabila Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu pada 28 Februari, mencetuskan serangan balas dari Tehran ke atas negara-negara Teluk dan Israel.

Lubnan turut terjebak dalam peperangan itu selepas kumpulan Hezbollah yang disokong Iran melancarkan serangan ke atas Israel, yang kemudian melancarkan serangan balas ke atas Lubnan, termasuk ke atas ibu kota Beirut serta melancarkan operasi darat di selatan negara itu.
Sumber : AFP/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita